KUCHING: Berkata buruk kepada seseorang yang telah banyak membantu parti selama ini telah menunjukkan sikap sebenar Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh, kata Ketua Wanita SUPP Kho Teck Wan.

Dia mengulas kenyataan Soon Koh baru-baru ini yang mengkritik Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengenai kenyataannya bahawa parti tersebut terdiri daripada kalangan ahli politik yang bermasalah.

Beliau berkata, Soon Koh telah meninggalkan SUPP tanpa meletakkan jawatan untuk menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) pada 2014.

“Oleh itu beliau dipecat oleh SUPP. Kurang tiga bulan kemudian, beliau membentuk Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan berjanji setia kepada Datuk Seri Najib Tun Razak (Perdana Menteri ketika itu).

“Selepas Pilihan Raya Umum ke-14, UPP menukar namanya menjadi PSB pada 2019 dan berjanji setia kepada Tun Dr Mahathir Mohamad (Perdana Menteri ketika itu),” katanya.

Teck Wan berkata, Soon Koh sekarang menyerang GPS yang sebelum itu merupakan sebahagian anggota kabinet selama bertahun-tahun.

“Ini termasuk sebelum pembentukan GPS ketika Barisan Nasional masih memerintah di Sarawak,” katanya.

Sementara itu katanya, tahun ini menandakan 50 tahun kerjasama SUPP dan Parti PBB. “Selepas PRN Sarawak pertama pada 1970, SUPP bersamasama Perikatan Sarawak (Parti Bumiputera dan Persatuan Cina Sarawak) membentuk kerajaan gabungan Sarawak yang pertama.”

Tambahnya, seperti manamana rakan kongsi, pasti akan ada pasang surut, tetapi setelah 50 tahun, perkongsian itu tetap kuat dan SUPP tetap menjadi rakan setia gabungan itu.

“Sebagai Ketua Wanita SUPP, saya percaya akan perpaduan dan bekerjasama dengan rakan politik dalam GPS, bergerak maju sehingga kita dapat merealisasikan impian Sarawak yang kuat, bersatu dan makmur,” tambahnya.

Abang Johari pada Konvensyen Khas PBB Wilayah Utara di Miri Sabtu lalu yang menyifatkan PSB sebagai parti untuk kumpulan bermasalah, turut menyebut beberapa pertikaian antara anggota PSB dengan presiden parti komponen GPS sebelum menyertai PSB.