MIRI: Nasib tidak menyebelahi seorang lelaki apabila ditangkap polis kerana memecah masuk ke dalam bilik sewa di Commercial Centre di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 7.30 pagi, suspek berusia 40-an berjaya ditangkap selepas cuba meloloskan diri dari tempat kejadian.

Difahamkan, pada awalnya kejadian itu disedari oleh penghuni bilik sewa berkenaan apabila suspek memasuki ke dalam bilik sewa dan bilik mandi.

Suspek yang panik bertindak melarikan diri ke tingkat atas selepas perbuatan diketahui orang lain.

Bagaimanapun, cubaannya itu tidak berjaya apabila ditangkap oleh sepasukan polis yang tiba di lokasi kejadian.

Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut. Ketua Polis Daerah Miri, ACP Lim Meng Seah mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi semalam.