SARATOK: SMK Agama Saratok (Asar) menerima baik kemasukan akhbar Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune ke sekolah berkenaan.

Pengetuanya Roslan Mohd. Saini berkata, dalam era digital dan ledakan teknologi pada masa kini, kewujudan akhbar bercetak dilihat semakin asing bagi pelajar.

Malah katanya, ramai pelajar yang teruja diperkenalkan dengan dua akhbar tersebut sebaik dibawa masuk ke sekolah tersebut sejak beberapa minggu lalu.

“Sangat bermanfaat dan diterima baik kemasukan akhbar ini ke sekolah kami. Setidak-tidaknya sebagai tambahan kepada bahan bacaan sedia ada untuk guru dan pelajar.

“Akhbar tersebut ditempatkan di pusat sumber sekolah untuk kegunaan guru dan pelajar.

“Para pelajar boleh mendapatkan bahan daripada artikel atau berita yang disiarkan untuk pengetahuan sedia ada mahupun untuk pengisian tugasan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, ia juga membantu menyemai minat membaca dalam kalangan warga sekolah. Paparan pelbagai isu di dada akhbar membangkitkan minat membaca pelajar yang selama ini hanya disajikan dengan buku teks dan maklumat daripada media sosial.

Malah katanya, ramai pelajar yang berminat dengan dunia kewartawanan sebagai kerjaya sebaik tamat belajar kelak.

Roslan menjelaskan, pihak sekolah turut mengambil inisiatif menjadikan akhbar Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune sebagai sumber maklumat untuk digunakan penyiar mereka dalam siaran Asar FM yang bersiaran setiap waktu rehat.

Selaku peneraju utama Asar, Roslan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak penaja Akhbar Masuk Sekolah (AMS).

Beliau berharap usaha murni ini akan berterusan, di samping menyarankan agar lebih banyak karya kreatif pelajar dan bahan berbentuk pendidikan dimuatkan dalam akhbar berkenaan pada masa akan datang.