BINTULU: Remaja berumur 16 tahun antara 35 individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di kawasan ParkCity Commercial Centre di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata serbuan dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu.
.
Dalam serbuan kira- kira jam 2.30 dan berakhir 6 pagi itu, 35 individu masing- masing 20 wanita dan 15 lelaki warga tempatan berumur antara 16 hingga 62 tahun ditahan di bawah Seksyen 24 Ordinan Hiburan 2001 kerana operasi lebih masa dan Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 .

Menurut beliau, 30 indidvidu dikenakan kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial sementara seorang lagi individu lelaki berumur 62 tahun yang merupakan pemilik pusat hiburan terbabit ditahan kerana beroperasi melebihi masa yang dibenarkan.

Saspek, katanya, akan direman di Mahkamah Seksyen Bintulu, petang ini bagi membantu siasatan.

Turut dirampas pelbagai peralatan sistem bunyi, resit perniagaan, meja, kerusi dan wang tunai berjumlah RM1,915 dipercayai hasil aktiviti hiburan.