KUCHING: Salcra bersetuju untuk mengeluarkan surat hak milik tanah kepada pesertanya selepas tahun ketiga penanaman kelapa sawit di tanah mereka.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kelewatan Salcra untuk mengeluarkan surat hak milik tanah kepada pesertanya perlu dipandang serius.

“Ada segelintir peserta Salcra yang masih belum mempunyai surat hak milik tanah meskipun 10 tahun tanah mereka ditanam kelapa sawit.

“Bagi rakyat, pihak kerajaan tidak menjalankan tugas untuk mengatasi isu berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Integriti Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Manred) di sini, semalam.

Uggah yang juga Menteri Manred menambah, Salcra perlu menyasarkan pengeluaran 20 tan per hektar menjelang 2023.

“Jika sasaran ini dicapai, maka pendapatan pekebun yang bersama-sama Salcra akan meningkat.

“Begitu juga pemohon subsidi agar mendapat jawapan segera daripada agensi terlibat yang merupakan KPI masing-masing,” jelasnya.

Menurutnya, permohonan mereka perlu disemak dalam tempoh dua bulan, dan sekiranya lewat, ia mengundang rasa tidak puas hati orang ramai.

“Malah, Manred mewujudkan satu perkhidmatan aduan melalui aplikasi WhatsApp agar isu berbangkit ditangani segera.

“Jika aduan lambat ditangani, ia menjadi satu masalah kepada agensi masing-masing,” ujarnya lagi.

Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat Datuk Roland Sagah Wee Inn dan Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Wilayah Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail antara yang turut hadir.