MIRI: Lebih 20,000 penduduk dari Kampung Long Pilah hingga ke kawasan Bario terjejas selepas jalan utama ke Ulu Baram di antara Long Pilah dan Long Miri dilaporkan runtuh pada jam 5 petang Ahad.

Adun Telang Usan Dennis Ngau ketika dihubungi Suara Sarawak semalam berkata, kejadian itu yang berlaku dalam skala besar dan membimbangkan memandangkan ia merupakan satu-satunya jalan menghubungkan penduduk di kawasan berkenaan.

“Jalan ini menghubungkan ke Kampung Long Pilah. Jadi ini bermakna, ia bermula dari kampung itu hingga ke Bario. Di sana, ada berpuluh-puluh kampung di sepanjang jalan dengan jumlah penduduk yang dianggar sekitar 20,000 akan terjejas. “Kejadian ini amat merisaukan kerana penduduk tidak mempunyai pilihan lain selain jalan balak ini,” katanya.

Susulan insiden itu, Dennis menyuarakan harapannya agar rakyat bersabar termasuk membuka mata supaya melihat dengan jelas mengapa Kerajaan Sarawak cuba membina jalan baharu pada 2013.

“Pada 2013, kerajaan bercadang untuk membina jalan baharu yang menghubungkan Long Lama ke Long San dan projek bernilai RM800 juta itu bakal bermula tetapi kemudian dibatalkan.

“Tetapi malangnya ada penduduk membantah projek tersebut. Saya sendiri tidak pasti apa sebabnya. Kami terpaksa batalkan kerana menuruti kemahuan rakyat,” ujarnya.

Jelasnya, sekiranya projek tersebut dilaksanakan, penduduk sekarang mungkin mempunyai pilihan lain selain jalan balak yang runtuh itu.

Ketika ditanya mengenai kerjakerja membaik pulih jalan runtuh itu, Dennis memberitahu, syarikat balak yang beroperasi di kawasan tersebut memberi jaminan masalah itu akan diatasi secepat mungkin.

“Saya percaya, sekarang ini, syarikat balak tersebut sudah melakukan kerja pembaikan. “Disebabkan tanah runtuh itu berlaku dalam skala besar, maka ia akan mengambil sedikit masa untuk dibaiki.

Namun, mereka berjanji untuk membaiki jalan itu secepat mungkin,” ujarnya lagi. Difahamkan, sebelum kejadian itu, kawasan tersebut menerima hujan tanpa henti selama dua hari berturut-turut.