KUCHING: Sehingga 17 Ogos tahun ini, Sarawak mencatatkan seramai 560 individu ialah pemegang Kad Pengenalan Permastautin Sementara (MyKAS).

Berdasarkan kenyataan dari Kementerian Dalam Negeri (KDM) menerusi rekod Jabatan Pendaftaran Negara menjelaskan secara terperinci pemegang MyKAS tersebut di Sarawak ialah terdiri daripada Melayu (13 orang), Cina (10 orang), Etnik Sabah (16 orang), Etnik Sarawak (395 orang) dan lain-Lain kaum (126 orang).

Diikuti di Daerah Baram ialah seramai 119 orang manakala Kapit 98 orang.

Kenyataan dari KDM itu dijelaskan bagi menjawab pertanyaan Senator Datuk Paul Igai dalam sesi Dewan Negara semalam berhubung jumlah penduduk tempatan khasnya di Sarawak yang masih mempunyai kad pengenalan sementara serta langkah penyelesaian oleh kerajaan.

KDM turut memberitahu bahawa MyKAS tersebut dikeluarkan kepada individu dengan Sijil Kelahiran yang didaftarkan dengan taraf Belum Ditentukan atau maklumat ibubapa tanpa dokumen pengenalan diri.

Sehubungan itu KDM menjelaskan bahawa bagi menangani isu kewarganegaraan pemegang MyKAS tersebut mereka perlu melalui permohonan kewarganegaraan Malaysia sama ada melalui pendaftaran atau penaturalisasian.

“Ia tertakluk kepada pematuhan syarat dalam Bahagian III Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 [L.N 82/1964] serta perundangan berkaitan yang berkuatkuasa dalam isu pendaftaran perkahwinan, pengangkatan, kesahtarafan anak, dan peraturan imigresen.

“Kementerian melalui JPN sentiasa mengambil langkah proaktif dalam memastikan urusan pendaftaran dokumen pengenalan diri individu yang berkelayakan dapat dilaksanakan dengan mudah di seluruh negara termasuk di kawasan pedalaman dan luar bandar melalui Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar),” jelasnya.

Mekar tersebut tambahnya merangkumi Program Pendaftaran Bergerak (Unit Mobile) dan Bas Mobile termasuk menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuklah khidmat nasihat berkaitan pendaftaran Kad Pengenalan, Kelahiran dan Kematian.

Dalam pada itu, KDM turut mengingatkan kepada ibu bapa dan penjaga kepada individu yang bertaraf ‘Belum Ditentukan’ atau ‘Bukan Warganegara’ untuk bertanggungjawap sepenuhnya dalam menguruskan kewarganegaraan, dokumen pengenalan diri dan dokumen perjalanan dengan negara asal.

“Ini bagi mengelakkan ketiadaan dokumen pengenalan diri, keberadaan tidak sah di Malaysia dan seterusnya disalah anggap sebagai tidak memiliki kewarganegaraan dari mana-mana negara (stateless),” katanya.