KUCHING: Orang muda harus mempunyai visi, kreatif dan menguasai pengurusan ekonomi berteraskan teknologi kerana untuk mencipta Sarawak maju menjelang 2030, tadbir urus negeri ini harus berpaksikan teknologi terkini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pada masa akan datang, masyarakat akan bergantung kepada cip untuk menyimpan maklumat dan teknologi yang menjadi peranti pintar.

“Sekarang ini semuanya mudah dan bergantung sepenuhnya kepada teknologi. Berbanding zaman saya dahulu, kami menggunakan komputer yang besar dan pengetik masa untuk merekod kehadiran.

“Namun sekarang semuanya di hujung jari. Misalnya kita menggunakan pencetak 3D. “Justeru, orang muda mesti dilengkapkan dengan pembaharuan ini termasuk soal keselamatan siber dan data raya,” katanya kepada Suara Sarawak dalam pertemuan eksklusif di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia.

Mengulas mengenai peranan anak muda untuk meneruskan perjuangan pemimpin sekarang, Adun Satok itu tidak menolak andaian bahawa generasi sekarang sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab mengemudi Sarawak pada masa depan.

“Namun generasi baharu hendaklah dilengkapkan dengan ilmu terkini termasuk bagaimana mereka boleh memahami latar belakang negeri ini.

“Mereka juga perlu melihat masa depan dengan jelas supaya dapat memainkan peranan apabila keadaan dan landskap kepimpinan berubah rentak,”katanya.

Kata Abang Johari, sekarang ini keadaan agak berlainan apabila banyak perkara diakui berlaku akibat perubahan ekonomi dunia. “Malah geopolitiknya sudah bertukar.

Semuanya berkisar kepada perkara yang berhubung kait dengan ekonomi dunia hari ini. “Rantau ini pula dikatakan banyak hasil minyak dan gas. Kita mesti melihat kepada perubahan geopolitiknya.

“Dan, saya rasa ia akan berterusan hingga ke generasi baharu. Sebab itu, kita mahu generasi sasar ini bersedia berdepan dengan perubahan ini,” katanya.

Justeru katanya, pemimpin akan datang mesti memahami keadaan geopolitik dunia termasuk mengakui satu-satunya perkara yang akan memberi kelebihan kepada sesebuah negara untuk maju adalah kemajuan teknologinya