KAPIT: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) akan berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) untuk membina dua lagi stesen telemetri di Bahagian Kapit.

Pengerusi JPBN Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, stesen berkenaan akan dibina di Nanga Tulie dan Nanga Mujong.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat mengenai situasi banjir di Bahagian Kapit yang disampaikan oleh Timbalan Residen Kapit Galing Luang dalam lawatannya di sini hari ini.

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri kemudiannya melawat 84 mangsa di pusat pemindahan sementara di Stadium Tertutup Kapit.

Seramai 78 mangsa dari Rumah Philimon di Nanga Bawai dan tiga lagi mangsa masing-masing dari Kampung Muhibah dan Kampung Baru ditempatkan di pusat berkenaan.

Bersama-sama dalam lawatan terbabit ialah Ahli Parlimen Kapit merangkap Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi serta Adun Pelagus Wilson Nybong.

Tambah Uggah, stesen telemetri di Song akan dilengkapi dengan bateri baharu untuk membolehkannya beroperasi.

Katanya lagi, setakat ini Kapit mempunyai 11 stesen daripada 500 di seluruh negeri.

“Stesen ini amat penting untuk menyukat jumlah taburan hujan dan paras air di sungai-sungai di Sarawak.

“Beberapa lagi berfungsi mengeluarkan amaran awal banjir,” jelasnya.