BINTULU: Bertepatan dengan sambutan Hari Malaysia hari ini Extrameal Bintulu tampil membantu meringankan beban Sekolah Kebangsaan (SK) Sebauh yang mengalami kebakaran melibatkan sebuah blok asrama lelaki pada 5 Ogos lalu.

Pertubuhan kebajikan tersebut telah menyampaikan sumbangan berupa peralatan sekolah, keperluan asas, pelitup muka, hand sanitizer serta sedikit wang tunai kepada murid asrama SK Sebauh yang terjejas.

Pengasas Extrameal Bintulu, Francis Ngu Hown Hua berkata pihaknya bersimpati terhadap musibah yang melanda seramai 30 pelajar asrama lelaki termasuk perempuan serta warga sekolah berkenaan apabila blok asrama lelaki sekolah itu musnah dalam kebakaran seawal jam 7.10 pagi pada 5 Ogos lalu.

“Sempena sambutan Hari Malaysia pada hari ini juga, kami (Extrameal Bintulu) bersimpati dengan kejadian ini telah menyumbangkan barangan makanan dan beberapa keperluan serta wang poket kepada pelajar yang terjejas.

“Saya berharap sumbangan ini akan membantu meringan beban dengan segera kepada murid dan guru SK Sebauh serta memberi motivasi kepada mereka untuk belajar,” katanya.

Francis memjelaskan sumbangan telah disampaikan kepada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Sebauh, Munong Ugak serta wakil Pembantu Pengurusan Murid Asrama Lelaki SK Sebauh, Ruduan Ahim.

“Saya berterima kepada masyarakat yang membantu. Ini membuktikan tidak kira kaum, agama mahupun fahaman politik, apabila melibatkan bencana dan kesusahan, rakyat akan prihatin serta tampil memberi bantuan, lebih-lebih lagi melibatkan pelajar sekolah yang menghuni asrama itu,” ujarnya.

Beliau turut berharap agar lebih ramai yang tampil menghulurkan bantuan kepada pelajar yang terjejas serta warga sekolah terbabit.

Terdahulu, satu kejadian kebakaran telah berlaku kira-kira pada jam 7 pagi pada 5 ogos lalu, melibatkan satu blok asrama dua tingkat, blok pra sekolah dan kediaman pembantu murid SK Sebauh dan menyebabkan 12 pelajar lelaki sekolah dan pembantu murid hilang tempat berteduh.