SIBU: Setiap rakyat Malaysia diseru untuk bersama-sama menghayati dan menghargai makna perpaduan secara lebih kreatif dengan cara tersendiri

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, ia bagi menyemarakkan semangat perpaduan bersempena sambutan Hari Malaysia 2020.

“Kita sedar rakyat Malaysia amat kreatif dalam meluahkan rasa cinta dan sayang kepada negara.

“Justeru, kerajaan melalui Kementerian Perpaduan Negara mengajak semua untuk bersama-sama menghayati dan menghargai perpaduan termasuk berkongsi maknanya dengan kreativiti tersendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Majlis Pelancaran Video Lagu dan Pertandingan Fotografi/Videografi ‘Saya Anak Malaysia’ bersempena Sambutan Hari Malaysia 2020 di Dewan Lakis, semalam.

Jelasnya, kementerian melancarkan video lagu ‘Saya Anak Malaysia’ yang disusun semula, dinyanyikan oleh 26 artis tempatan yang berbilang bangsa dan umur.

“Melalui lagu ini, saya ingin menggalakkan rakyat berkongsi makna perpaduan dengan cara lebih kreatif. Ia boleh dimuat turun di laman sesawang dan media sosial Kementerian Perpaduan Negara.

“Selain itu, kementerian ingin mencungkil bakat dalam bidang fotografi dan videografi melalui penganjuran pertandingan fotografi dan videografi bermula hari ini sehingga 4 Oktober 2020 bertemakan Saya Anak Malaysia dan Malaysia Prihatin.

“Ia hendaklah mencerminkan perpaduan rakyat Malaysia dan diharap dapat menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama,” ujarnya.

“Justeru, sertailah pertandingan ini dengan memuat naik gambar atau video masing-masing mengikut tema di laman sosial berserta tanda pagar #SayaAnakMalaysia2020 dan #MalaysiaPrihatin,” tambahnya.

Setiap penyertaan perlu disertakan nama penuh, nombor telefon, akaun media sosial dan pautan video serta harus diemelkan juga ke alamat perpaduankita2020@gmail.com.

Pelbagai hadiah menarik disediakan.

Selari dengan Kempen Pembudayaan Norma Baharu peringkat kementerian, 50 kanak-kanak Tabika Perpaduan Taman Soon Hup Sibu turut mengadakan demonstrasi aktiviti ‘Take 5’ mencuci tangan.

Turut hadir Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Rosey Yunus dan Ketua Setiausaha Datuk Wan Suraya Wan Md Radzi.