MUKAH: Seorang kanak-kanak dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Passin Daro, petang tadi.

Insiden dipercayai berlaku kira-kira jam 2.50 petang.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak memberitahu, mangsa dikenalpasti sebagai Gabriel Lembang Anchau berusia tujuh tahun.

“Berikutan itu gerakan mencari menyelamat mangsa dilancarkan sebaik Bomba menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

“Sepasukan anggota dari Balai dan Penyelamat Daro bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira satu jam perjalanan menggunakan bot,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun ujarnya mangsa gagal dikesan dan operasi ditangguh pada jam 6.30 petang.

Setakat ini tiada butiran lanjut berhubung punca sebenar kejadian berkenaan.