SIBU: Kehidupan harmoni 50 keluarga di rumah panjang Jalak, Tanjung Penasu yang terdiri daripada penganut Islam dan Kristian dipuji kerana berjaya mengolah peradaban tinggi, yang sepatutnya menjadi contoh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, sebenarnya inilah nikmat yang patut dipertahankan.

“Jika kehidupan sebegini mampu dikekalkan, ia mampu membawa kemajuan dalam masyarakat.

“Saya melihat situasi kesantunan peradaban yang tinggi berjaya diolah oleh 236 penghuni daripada 50 keluarga di kawasan ini…jelas mereka berjaya mengharmonikan kehidupan di bawah satu bumbung dengan keadaan yang baik walaupun berbeza agama,” katanya.

Beliau bercakap demikian ketika merasmikan Program Yadim Peduli dan Ziarah Kasih di rumah panjang Jalak, Tanjung Penasu, semalam.

Sebaliknya jika sentiasa bertelingkah dan menyimpan dendam kesumat serta iri hati, masyarakat akan lebih porak-peranda.

“Saya kagum melihat keharmonian dan kehidupan saling hormat-menghormati dapat diterjemah dan dipamerkan di kawasan ini.

“Budaya masyarakat di sini juga sedikit banyak menjadi penyatu dan kita ambil iktibar untuk menjadi pedoman dalam kehidupan seharian,” ujarnya.

Ditanya lanjut tentang sebilangan anggota masyarakat yang menyebabkan kekecohan, Zulkifli mengharapkan ia ditangani dengan baik oleh semua pihak termasuk pemimpin akar umbi demi mempertahankan keharmonian.

Beliau menyerahkan sumbangan RM2,000 masing-masing kepada JKKK dan Pusat Komuniti Iban Islam bagi penganjuran pelbagai aktiviti di rumah panjang.