SIBU: Kewujudan pembayaran e-dompet Sarawak Pay di Pasar Sentral Sibu dijangka membantu melonjak transaksi pembayaran mikro di kawasan tumpuan awam itu.

Sistem itu dipraktikkan kira-kira 800 penjaja kecil di pasar basah berkenaan sekaligus memudahkan pelanggan yang ingin membuat pembayaran tanpa tunai dengan hanya menggunakan telefon pintar.

Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Dr Zaidi Razak berkata, pendekatan itu melibatkan kerjasama antara Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Majlis Perbandaran Sibu (SMC) dan Sistem Maklumat Sarawak Syarikat Sdn. Bhd. (SAINS).

“Ini selaras dengan inisiatif Kerajaan Sarawak yang kini mengambil langkah proaktif menggalakkan orang ramai mempraktikkan pembayaran tanpa tunai.

“Kaedah ini juga dilihat semakin menjadi pilihan masyarakat yang sudah pastinya dapat membantu usaha kerajaan menggerakkan negara ke arah ekonomi berteras digital,” katanya dalam satu kenyataan.

Datuk Patinggi Abang Johari menunjukkan cara menggunakan Sarawak Pay kepada salah seorang peniaga di pasar basah Sibu. – Foto Ghazali Bujang

Beliau berkata, melalui kerjasama dan penyediaan percuma Wifi yang disediakan oleh SAINS, pengguna Sarawak Pay di pasar basah Sibu kini boleh membuat pembelian melalui telefon bimbit dengan lebih mudah.

“Hari ini teknologi bergerak pantas dan masyarakat perlu seiring mengikuti peredaran zaman. Jadi aplikasi e-dompet ini sememangnya agak praktikal untuk perniagaan termasuk di kawasan pasar basah ini.

“Dalam pada itu, sistem ini juga mendorong penggunaan platform digital secara besar-besaran oleh masyarakat selain membina persekitaran e- perdagangan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Daerah Sibu, Kaunselor Clarence Ting Ing Horh, berkata, tansaksi tanpa tunai kini menjadi sebahagian norma baru dalam masyarakat dunia hari ini.

Penggunaan e-dompet Sarawak Pay katanya, bukan sahaja dapat mengurangkan fizikal tunai tetapi juga mampu mengukuhkan ekonomi digital negara.

“Sudah pasti kami gembira menjadi sebahagian daripadanya selain dapat membangun dan memelihara ekosistem digital yang lebih mampan.

Secara tidak langsung, langkah ini juga membantu mempercepatkan lagi perkembangan ekonomi Sarawak pada masa depan,” katanya.