SIBU: Sebanyak 49 menara telekomunikasi baharu dan 825 alat pemancar komunikasi di menara sedia ada di Sarawak akan dinaik taraf secara komersil.

Perdana Menteri Datuk Patinggi Muhyiddin Yassin berkata, ia antara sebahagian pelan infrastrukur digital di bawah Jalinan Digital Negara (Jendela) untuk memastikan tiada warganegara ketinggalan dalam mengecapi nikmat pembangunan termasuk penduduk di Sarawak dan Sabah.

“Fasa pertama telah bermula dengan usaha memperluaskan liputan jalur lebar mudah alih 4G daripada 91.8 peratus kepada 96.9 peratus di kawasan berpenduduk.

“Ia sekali gus membolehkan 7.5 juta premis mendapat akses kepada jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit.

“Sementara itu, rangkaian 3G akan ditamatkan secara berperingkat sehingga akhir 2021 bagi memantapkan rangkaian 4G serta memperkukuhkan asas bagi rangkaian 5G,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sambutan Hari Malaysia ke-57 (2020) Peringkat Kebangsaan di Stadium Tertutup Sibu, malam tadi.

Jelasnya, fasa kedua iaitu melibatkan peralihan kepada rangkaian 5G akan menyusul selepas fasa pertama tamat.

“Penduduk Sarawak dan Sabah bakal menerima manfaat daripada pelaksanaan pelan ini seperti mana komitmen Kerajaan Persekutuan yang sentiasa memberikan tumpuan kepada pembangunan kedua-dua negeri ini,” ujarnya.

Sementara itu di Sabah tambah Muhyiddin, sebanyak 35 menara baharu dan 1,048 alat pemancar komunikasi di menara sedia ada akan dinaik taraf secara komersial bagi meningkatkan liputan 4G.

Katanya lagi, kerajaan akan memantau kemajuan pelaksanaan pelan ini secara menyeluruh.

“Saya yakin dengan adanya sokongan padu dan kerjasama erat antara kementerian, agensi berkaitan dan Kerajaan Sarawak atau Sabah, pelan Jendela pasti akan mendatangkan banyak faedah kepada rakyat,” tambahnya.