SIBU: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memutuskan untuk memberi sokongan kepada Perdana Menteri kerana tidak ingin melihat Malaysia terjejas daripada keadaan yang tidak menentu.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak sebagai sebuah entiti politik telah memainkan peranan yang penting untuk memastikan negara ini mampu distabilkan semula dan terbentuknya sebuah kerajaan pimpinan Perdana Menteri yang menggalas tanggungjawab untuk mentadbir negara dengan berkesan.

Katanya, rakyat Sarawak menghargai kerajaan di peringkat persekutuan sebagai sebuah kerajaan yang berfungsi yang memahami aspirasi dan kehendak rakyat.

“Kejayaan Malaysia mengekang penularan wabak COVID-19 membuktikan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyidin mampu mentadbir negara seperti yang diharapkan oleh rakyat,” katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan di sini, malam tadi.

Beliau berkata, Sarawak juga amat mengalukan-alukan inisiatif Kerajaan Persekutuan yang mewujudkan pelbagai bantuan termasuk Bantuan Perihatin Nasional (BPN) bagi membantu golongan yang terkesan oleh wabak COVID-19.

Katanya, Malaysia yang dibentuk pada 1963 sudah berusia 57 tahun dan banyak perubahan dari segi sosio-politik negara sudah berlaku dalam tempoh berkenaan.

“Pada tahun 1963 negara kita Malaysia telah dilahirkan berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63 yang dimetrai oleh Kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu dan waki-wakil dari Singapura, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak.

“Namun terjadi perubahan pada 2018 selepas PRU14 apabila berlaku pertukaran kerajaan di peringkat persekutuan. Ia menjadi titik perubahan yang membawa impak amat mendalam kepada iklim sosio-politik negara yang harus dilihat dalam perspektif yang positif kepada usaha berterusan untuk memperkasakan pembangunan negara ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Abang Johari memberitahu, Petronas memberi komitmen untuk menjelaskan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak lima peratus kepada Kerajaan Sarawak dan mengiktiraf hak Sarawak untuk mengenakan cukai jualan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan berdasarkan Ordinan Minyak dan Perlombongan, 1958.

“Dari aspek komersil, terutamanya untuk membangunkan industri petrokimia di Sarawak, kita mengambil sikap “win-win” kerana konfrontasi yang berterusan akan membawa kerugian kepada semua,” ujarnya.