SIBU: Beberapa isu yang masih tertangguh berhubung hak dan kedudukan Sarawak dan Sabah diharap mampu dirungkai melalui Majlis Khas mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), demikian jelas Perdana Menteri Datuk Patinggi Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, ia selaras dengan semangat MA63 dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, apa yang penting ialah usaha-usaha membangun dan memajukan kedua-dua negeri ini dapat dipertingkatkan dengan adanya kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.

“Saya hendak nyatakan isu-isu yang dianggap sukar untuk diselesaikan boleh diselesaikan dengan baik apabila Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak sehaluan dan sehati sejiwa,” katanya.

Beliau yang juga pengerusi Majlis Khas tersebut berkata demikian pada Sambutan Hari Malaysia ke-57 (2020) Peringkat Kebangsaan di Stadium Tertutup Sibu, malam tadi.

Majlis Khas tersebut akan membincangkan kedudukan Sarawak dan Sabah sebagai rakan sekutu, hak negeri di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan, MA63 dan Laporan Antara Kerajaan, keselamatan negeri dan pendidikan.

Beliau katanya yakin apabila Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak sehaluan, pasti menguntungkan rakyat.

Menyentuh soal kedaulatan wilayah, Muhyiddin menyatakan komitmen untuk terus mempertahankannya tanpa sebarang kompromi.

“Saya ingin tegaskan bahawa Sarawak dan Sabah akan terus kekal berada dalam Malaysia.

“Kerajaan Persekutuan tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan kedaulatan negara,” ujarnya.

“Selain komited memastikan hak-hak kedua-dua negeri sepertimana yang terkandung dalam MA63 terus terpelihara,” tambahnya.

Sambutan tahun ini dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan isteri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dan Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Aidi Moktar dan isteri Datin Faridah Mohamad.