KUCHING: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan anak-anak syarikatnya hari ini telah menyelesaikan pembayaran Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum untuk 2019, sebagaimana yang dinilai oleh Kontroler Cukai Jualan Negeri sesuai dengan ketentuan Ordinan Cukai Jualan Negeri Sarawak, 1998.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata jumlah yang dibayar oleh Petronas dan anak syarikatnya adalah lebih RM2.9 bilion.

“SST untuk tahun ini 2020 akan dibayar apabila penilaian dibuat berdasarkan jumlah produk petroleum iaitu minyak mentah, kondensat, urea dan gas petroleum cecair yang benar-benar dijual dan nilai penjualan produk tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena penyerahan cek SST oleh Petronas kepada kerajaan Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Pengerusi Petronas Tan Sri Ahmad Nizam Salleh dan Ahli Lembaga Petronas Datuk Ibrahim Baki.