SIBU: Malaysia harus kembali kepada asas penubuhan negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak yakin bahawa pengiktirafan terhadap asas itu berupaya memperkukuhkan lagi semangat kenegaraan kesemua bahagian negara ini terhadap Malaysia, dan bukan sebaliknya.

Katanya, melabelkan, khususnya Sarawak sebagai parochial atau kedaerahan tidak akan membantu penyatuan negara.

“Sarawak, dan Sabah pastinya hanya mahu kuasa-kuasa yang terhakis, secara sengaja atau tidak sengaja, dikembalikan. Itu sahaja, tidak lebih tidak kurang,” katanya

“Namun, saya mengucap terima kasih kepada persetujuan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam beberapa perkara setakat ini termasuk, obligasi kewangan Persekutuan di bawah senarai bersama diangkat dan dibincangkan di dalam Majlis Kewangan Negara,

“Semakan semula Pemberian Khas Kewangan kepada Negeri, Royalti Minyak dan Pembayaran Tunai Petroleum dan perkara berkaitan minyak dan gas dibincang bersama antara Perdana Menteri dan Ketua Menteri, Kuasa Pembekalan gas diberi kepada Sarawak,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan, di Stadium Tertutup di sini, malam tadi.

Abang Johari tidak menafikan banyak yang sudah dicapai Sarawak sebagai sebahagian daripada Malaysia dalam tempoh masa 57 tahun namun, tidak dapat dinafikan juga bahawa negeri ini juga belum mampu mengejar pembangunan khususnya di Semenanjung Malaysia.

Yang penting bagi Sarawak katanya, negeri ini harus terus mengorak langkah untuk meletakkannya di persada pembangunan yang lebih intensif agar mampu menjadi sebuah negeri yang maju menjelang 2030.

Berdasarkan aspirasi itu ujarnya, Kerajaan GPS komited memajukan Sarawak dalam bidang berteraskan ekonomi digital dan kelestarian alam sekitar seperti pertanian komersil, aktiviti pengeluaran, perlombongan, industry penanaman hutan, pelancongan, perkhidmatan, pusat data dan innovasi, infrastruktur dan utiliti, tenaga yang boleh diperbaharui, pendidikan dan pembangunan sumber manusia.

“Perlembagaan Malaysia, memperuntukkan sistem pemerintahan persekutuan yang unik di mana tambahan perundangan, kuasa eksekutif dan lebih banyak sumber pendapatan diberikan kepada Sabah dan Sarawak untuk melindungi kepentingan khas mereka di Persekutuan yang menjadi rakan kongsi dalam pembentukan negara.

“Inilah masa yang menggembirakan dan juga mencabar bagi negara yang kita cintai. Bukan hanya kerana ciri federalisme kita diteliti secara ketat oleh kerajaan persekutuan dan negeri tetapi dengan rakyat yang lebih berpengetahuan berbanding 30 tahun yang lalu,” katanya.

Beliau berkata, rakyat kini mengetahui sepenuhnya hak mereka, hak perlembagaan negara dan di samping menuntut agar Persekutuan menghormatinya.

“Saya gembira melihat bahawa perbezaan antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri, khususnya kerajaan Sarawak, dikendalikan melalui mekanisme perundingan yang disediakan dalam perlembagaan, melalui pendekatan mesra yang dapat diterima oleh kedua-dua pihak berdasarkan kedaulatan undang-undang,” katanya.