KOTA SAMARAHAN: Sarawak merupakan negeri pertama yang memohon bank digital daripada Bank Negara Malaysia (BNM), namun kini masih belum menerima sebarang keputusan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak kini sedang melaksanakan kerja-kerja menambah baik infrastruktur digital untuk mencapai tujuan terbabit.

“Jika kita menginginkan bank digital tetapi tiada kemudahan sewajarnya, ia menjadi sia-sia. “Jadi, dalam tempoh lima ke tujuh tahun lagi, infrastruktur digital kita akan dilengkapkan dengan Internet berkelajuan tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan SJK Chung Hua Bako di Taman Berlian Stabil di sini, pada Selasa.

Menurut Abang Johari, apabila Sarawak mempunyai Internet berkelajuan tinggi, maka, lebih mudah bank digital beroperasi kelak.

“Maka, kita mempunyai pelan tindakan yang sewajarnya demi menjamin masa depan penduduk Sarawak. “Meskipun ia memakan masa yang agak lama, namun polisi itu boleh dilaksanakan,” jelasnya.

Ujarnya, ia sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Sarawak untuk menjadikan negeri ini termaju di Malaysia menjelang 2030.