KOTA SAMARAHAN: Sebanyak RM17 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Sarawak kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina pada tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM9 juta kepada Sekolah Menengah Cina, manakala RM8 juta lagi untuk menubuhkan unit khas sekolah rendah bantuan Cina.

“Jadi, jumlah keseluruhannya ialah RM17 juta. “Ini menjadikan kita berbeza (daripada negeri lain) apabila saya berasakan bidang pendidikan harus dibantu (Kerajaan Sarawak),” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan SJK Chung Hua Bako di Taman Berlian Stabil di sini, pada Selasa.

Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak bukan sahaja membantu sekolah Cina tetapi sekolah mubaligh selagi kerajaan mempunyai kewangan yang cukup.

“Jika negeri kita aman, taraf ekonomi baik dan mempunyai lebihan perolehan, ia tidak menjadi masalah untuk kerajaan membantu sekolah Cina serta sekolah mubaligh demi rakyat Sarawak.

“Turut menjadi dilema bidang pendidikan di Sarawak ialah sekolah-sekolah daif di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan,” tegasnya.

Jelasnya, bagi membantu membaik pulih sekolah-sekolah daif di negeri ini, Kerajaan Sarawak membayar pinjaman RM1 bilion terlebih dahulu kepada Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, ia membuktikan keseriusan Kerajaan Sarawak dalam menangani isu sekolahsekolah daif di negeri ini. Mengulas mengenai SJK Chung Hua Bako, Abang Johari memberitahu, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM3 juta untuk membina semula sekolah berkenaan di tapak baharu.

Sebagai rekod, SJK Chung Hua Bako diarah tutup kerana kekurangan pelajar pada 2010 sebelum Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bersetuju untuk meletakkan ia sebagai sekolah “digantung sementara”.

Bagaimanapun pada 2015, Berlian Stabil Sdn Bhd bersetuju menyumbang sebidang tanah seluas 3.48 ekar di Kota Samarahan untuk menempatkan semula sekolah tersebut.

Pada 2018, SJK Chung Hua Bako menerima surat kelulusan untuk ditempatkan semula daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sehubungan itu, kerja-kerja pembinaan SJK Chung Hua Bako dilaksanakan dan siap pada Februari 2020. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Presiden Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Rendah Bantuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian Jonathan Chai antara yang hadir.