KUCHING: Seorang bekas banduan disyaki terlibat dalam empat kegiatan samun berasingan di kawasan Kuching sejak Julai lalu berjaya dicekup polis, semalam.

Suspek, 36, ditangkap hasil serbuan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Kuching ketika menetap di sebuah hotel ternama sekitar jam 11.10 malam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa berkata, tindakan suspek cuba mengaburi mata pihak penguat kuasa dengan menetap di hotel ternama gagal setelah kelibatnya berjaya dikesan oleh pasukan operasi di lokasi terbabit.

Menurutnya, operasi mengesan suspek dilakukan sejurus pihaknya menerima laporan kes ragut rentai leher menyebabkan kerugian sekitar RM10,000 di Jalan Carpenter Kuching, Rabu lalu.

“Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Ungkapan tersebut bersesuaian terhadap tangkapan suspek utama yang terlibat dalam kejadian samun dan ragut yang berlaku di sekitar bandar Kuching sebelum ini.

“Suspek mengaku melakukan kegiatan ini(samun) secara berseorangan (solo) dan dipercayai telah aktif semenjak bulan Julai lalu.

“Hasil tangkapan turut berjaya mengesan barang-barang kes termasuk kenderaan digunakan semasa ragut iaitu sebuah kereta Perodua Myvi, dua buah motosikal, sejumlah wang tunai, helmet serta pakaian yang digunakan dalam kes-kes ragut yang berasingan,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, suspek yang didapati positif dadah Methamphetamine itu mempunyai banyak rekod lampau berkait jenayah harta benda dan juga dadah.

Dedahnya, suspek utama itu baru sahaja dibebaskan dari penjara pada bulan Mac lalu atas kesalahan sama iaitu jenayah ragut.

Tegasnya, siasat lanjut ke atas suspek masih berjalan bagi mengenal pasti jumlah penglibatan sebenar rakan sejenayah suspek yang terlibat di dalam kes-kes jenayah kekerasan di daerah Kuching.

Susulan itu katanya, permohonan perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosuder Jenayah ke atas suspek telah diperolehi selama empat hari sehingga 22 September 2020.

Merbin menambah, golongan orang awam umur pertengahan abad yang memakai barangan kemas seperti rantai leher dijadikan sasaran utama berdasarkan modus operandi kes suspek sebelum ini.

Ujarnya, kes kini disiasat atas kesalahan samun tanpa senjata api di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Tegas beliau, jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau hukuman sebat.