KUCHING: Perolehan Kerajaan Sarawak melalui hasil cukai jualan (SST) 2019 terhadap produk petroleum yang digali di negeri ini lebih RM3 bilion.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia merupakan hasil kutipan SST daripada Petronas sebanyak RM2.9 bilion manakala syarikat lain-lain membayar RM138 juta.

“Syarikat lain-lain yang membayar SST kepada kita ialah Shell, Murphy Oil, Pertamina dan Sapura OMV.

“Jumlah bayaran lebih RM2.9 bilion daripada Petronas tidak dikenakan sebarang denda apabila syarikat minyak dan gas nasional itu mematuhi notis yang dikeluarkan oleh Komptroler Cukai Jualan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penyerahan cek SST oleh Petronas kepada Kerajaan Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini semalam.

Tambah Abang Johari, dengan itu, kes mahkamah antara Kerajaan Sarawak dengan Petronas digugurkan.

“Dengan pendapatan ini, kita akan membina jambatan dan jalan raya untuk rakyat.

“Kita akan memberi keutamaan kepada projek rakyat dengan dana ini,” ujarnya.

Jelasnya lagi, sudah tentu seluruh rakyat Sarawak gembira dengan khabar berkenaan.

“Ia menunjukkan hubungan baik antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan,” tegasnya.