BINTULU: Ibu Pejabat Maritim Negeri Sarawak mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) pada jam 3.10 petang Khamis bagi membantu usaha pencarian dua lelaki yang dikhuatiri hilang semasa keluar memancing di laut pada Rabu.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata operasi CARILAMAT diaktifkan oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching sejurus menerima laporan daripada Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak pada jam 3.00 petang.

Beliau berkata Pangkalan Hadapan Carilamat telah ditubuhkan di Kuala Tatau dan setakat pada jam 6.00 petang Khamis, Aset seperti KM Renggis, Bot Kilat 44 serta bot daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah diaturgerak bagi membantu pencarian mangsa yang hilang.

Sehingga kini, katanya, pasukan CARILAMAT berjaya menemui sebuah bot terbalik yang disyaki bot mangsa pada jarak lebih kurang 11 batu nautika dari Pelantar Temena A.

Bagaimanapun, tiada sebarang penemuan mangsa di sekitar kawasan yang telah dilaporkan semasa pencarian,” jelas beliau.

Pada hari kejadian, mangsa, Kinminsna Anak Kasim, 58, warga tempatan dan Pendi Salim Husim, warga Indonesia dikatakan keluar memancing pada jam 5.30 petang, namun tidak pulang dan saudara mangsa bertindak melaporkan kehilangan mereka.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim supaya mengutamakan keselamatan  terutamanya  ketika keadaan laut yang bergelora dan cuaca yang tidak menentu.

Orang awam khususnya komuniti maritim dan nelayan tempatan dinasihatkan supaya menangguhkan sebarang aktviti penangkapan ikan sekiranya keadaan tidak mengizinkan di samping mengamalkan langkah keselamatan semasa berada di laut dengan memakai jaket keselamatan.

Pada masa yang sama, orang ramai juga disarankan menghubungi Maritim Negeri Sarawak jika berlaku kecemasan atau kejadian mencurigakan menerusi talian Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak  082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

Pasukan CARILAMAT menemui bot fiber dalam keadaan terbalik dipercayai milik Kinminsna kira-kira 11 batu nautika dari Pelantar Temana A di Bintulu.