KUCHING: Miss Universe Malaysia 2020, Francisca Luhong James 25 telah mencipta sejarah apabila menjadi gadis Dayak pertama dari Sarawak dan menjadikan beliau tercatat di dalam Malaysian Book of Records 2020.

Gadis berusia 25 tahun ini berjaya mengalahkan 17 finalis lain dalam pertandingan merebut gelaran Miss Universe Malaysia pada 5 September lalu dan bakal merebut gelaran Miss Universe Dunia di South Afrika nanti.

Sebagai anak jati Sarawak berdarah Kenyah, Kayan dan Iban beliau menjelaskan bahawa perasaan gugup berada di atas pentas ialah antara cabaran utama namun melalui penyertaan pertamanya dalam dunia ratu cantik bermula pada usia 19 tahun menyakinkannya untuk terus mengorak langkah.

“Saya telah direkrut pada usia 19 tahun (2016), di kedai ibu saudara saya, dan dari sekolah juga saya ada menyertai pertandingan tarian untuk mencabar diri saya pastinya cabaran utama kini saya perlu bersaing dengan peserta lain,” katanya pada sidang media di Shangri-La Grand Ballroom, Rooftop @ CityOne di sini semalam.

Pastinya beliau menjelaskan bakal membawa matlamat untuk “memperkasakan wanita” dalam pelbagai kemahiran pada pertandingan peringkat antarabangsa nanti menerusi langkah untuk meningkatkan keyakinan diri dalam setiap wanita.

“Apa yang saya mahu lakukan adalah untuk memperkasakan wanita secara keseluruhan bukan sahaja untuk membina diri tetapi turut dapat menyumbang kepada ekonomi negara.

“Kemenangan ini juga bukan bakal membawa nama Malaysia ke persada dunia, tetapi juga memberikan inspirasi kepada wanita diluar sana bahawa wanita juga memainkan peranan yang penting dalam pelbagai aspek,” jelasnya lagi.

Francisca menambah, semua kaum wanita harus berani menceburkan diri dalam pelbagai bidang dan tidak menghadkan kelebihan dan kemahuran yang sedia ada.

“Pesanan saya untuk wanita di luar sana terutamanya para belia, perkasakanlah kebolehan yang ada dan jangan sia-siakan peluang yang ada kerana kita tidak akan tahu bila lagi peluang tersebut yang ada kita akan mendapat pada masa kelak,” katanya.

Francisca merupakan gadis pertama mewakili etnik Dayak, sejak tahun 2007 Sarawak memenangi gelaran berprestij tersebut dan 14 tahun sejak itu ia dianugerahkan kepada pemegang Sarawak yang terakhir, Adelaine Chin Ai Nee.

Turut hadir dalam majlis anjuran Gebriel Padan Beauty Management dan komuniti dari Women Rise, tersebut ialah Pengarah Nasional Organisasi Miss Universe Malaysia, Datin Elaine Daly.

Dalam majlis tersebut bagi meraikan kehadirannya, satu tarian budaya iaitu ‘Liling Leodian’ telah dipersembahkan oleh ahli keluarga Francisca sebagai simbol menyambut ketibaanya kembali ke Sarawak.

Bagi memeriahkan majlis Francisca juga berkesemptan memperagakan pakaian rekaan Rizman Ruzaini berwarna merah jambu bersama dengan takhta Miss Universe Malaysia 2020.