KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus komited merangka strategi baharu dalam meningkatkan pelaburan di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, tindakan itu sejajar dengan matlamat Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju menjelang 2030.

“Sarawak merupakan negeri yang mempunyai keluasan yang besar dan kaya dengan pelbagai sumber asli termasuk minyak, gas dan lain-lain.

“Bagaimanapun, ekoran populasi penduduk yang mencecah sehingga 2.8 juta, ia telah mempengaruhi pertumbuhan dan pembangunan ekonomi di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian, dalam sesi dialog Pengurusan Industri bersama-sama Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, di Hotel Hilton semalam.

Menurutnya, meskipun keadaan agak mencabar, namun Sarawak masih mampu membuktikan prestasi yang baik dalam perkembangan ekonomi sehingga mencecah peningkatan sebanyak 4 hingga 5 peratus pada setiap tahun.

Bagaimanapun, ekoran pandemik yang melanda, ia tentu mempengaruhi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak, untuk menjadi negeri berpendapatan tinggi seperti yang dijangkakan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (SEAC).

“Sebagai pihak yang mempelopori pembangunan bahan bakar hidrogen, kita juga mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan mengecualikan cukai penggunaan bahan bakar tersebut sebagai dorongan dalam membangunkan Ekonomi Hijau.

“Kita juga mencadangkan agar Sarawak dapat dijadikan hab serantau untuk industri petrokimia, sejajar sumbangannya yang besar terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia menerusi pengeluaran sumber minyak dan gas,” katanya lagi.

Selain itu, Awang Tengah turut menggambarkan Sarawak merupakan sebuah negeri yang mempunyai banyak kelebihan dalam pelaburan negara yang memerlukan infrastruktur lebih baik untuk terus membangun.

Oleh itu, beliau berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan permintaan Kerajaan Sarawak dalam usaha untuk meningkatkatkan ekonomi negara.