Kelewatan penyiapan projek atau lebih senang dipanggil sebagai projek sakit merupakan fenomena biasa yang berlaku dalam industri pembinaan terutama melibatkan projek kerajaan.

Ada juga melibatkan projek swasta.

Dalam hal ini, sikap kontraktor yang mengambil mudah dalam proses pembinaan telah menyebabkan banyak projek tidak dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Sikap begini ternyata memberi kesan yang amat ketara terhadap pembangunan setempat terutamanya projek mega yang mampu memberikan impak kepada pembangunan setempat.

Bukan sahaja infrastruktur atau bangunan tidak dapat digunakan, pihak kerajaan pula terpaksa menangguh segala perancangan selain menanggung kos yang biasanya akan meningkat.

Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah dalam satu program baru-baru ini dipetik berkata, projek terbengkalai atau projek sakit akan membantutkan usaha untuk membawa lebih banyak perancangan pembangunan yang lain.

“Projek sakit menyebabkan banyak perancangan yang hendak dilakukan di sesuatu kawasan tidak dapat dilaksanakan.

“Ini menyebabkan pembangunan kawasan itu menjadi lambat padahal peruntukan lain sudah disediakan, namun tidak dapat dilaksanakan,” ujarnya.

Seperti di kawasan utara Sarawak, terdapat beberapa projek mega yang sedang mengalami kelewatan.

Antaranya pembinaan jambatan kedua, jambatan ketiga, Jalan Buang Abai ke Sungai Poyan untuk fasa keempat dan Rangau Valley.

Pembinaan jalan raya dan jambatan merupakan projek yang paling penting kerana tanpa jaringan perhubungan, mustahil untuk membawa projek pembangunan ke kawasan tersebut.

Lebih memburukkan lagi keadaan apabila kelewatan ini akan membangkitkan kemarahan rakyat.

Pastinya wakil rakyat yang mewakili sesuatu kawasan itu menjadi mangsa.

Perkara ini dapat dilihat di laman sosial apabila rakyat mula melontarkan cemuhan serta perkataan yang tidak sepatutnya kepada wakil rakyat.

Wakil rakyat dituduh tidak menepati janji dan mengambil sikap sambil lewa.

Walhal, kelewatan pembinaan ini bukan masalah yang ditimbulkan oleh wakil rakyat kerana tugas mereka adalah mencari peruntukan untuk pembangunan di sesuatu kawasan.

Permasalahan ini perlu diterangkan dengan jelas oleh pihak pelaksana kepada masyarakat agar tidak timbul kekeliruan.

Terdapat beberapa faktor penyebab projek sakit selain masalah kontraktor yang tidak komited untuk menyiapkan projek mengikut masa yang ditetapkan.

Antaranya ialah kedudukan kawasan yang jauh dari tempat pembekalan barangan.

Seperti di utara Sarawak, kebanyakan projek yang mengalami kelewatan disebabkan kesukaran mendapatkan bekalan barangan pembinaan.

Pihak kontraktor yang berjaya mendapatkan tender tidak melakukan persediaan rapi dan tidak melakukan kajian terlebih dahulu sebelum menerima projek.

Selain itu, bentuk muka bumi yang mencabar turut menjadi penyebab kelewatan dalam menyiapkan projek.

Terdapat projek yang terhenti ketika dalam pembinaan apabila keadaan tanah di kawasan projek mengalami masalah yang tidak diduga.

Hal lain yang tidak terduga seperti berlakunya penularan virus Covid-19 sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Ia turut menjadi punca kelewatan pembinaan.

Oleh itu, bagi mengatasi masalah kelewatan projek ini daripada berlaku, semua pihak yang terlibat terutama tuan punya projek iaitu Kerajaan Sarawak dan Persekutuan, agensi pelaksana seperti JKR dan kontraktor terlibat perlu memainkan peranan masing-masing dengan lebih komited.

Pihak kerajaan wajib memberi perhatian kepada cara pelaksanaan pembinaan projek pembangunan ini dengan sebaik-baiknya agar kelewatan serta projek sakit ini dapat dielakkan pada masa akan datang.

Kelewatan ini bukan sahaja membantutkan pembangunan setempat, malah menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi.