KUCHING: Peruntukan sebanyak RM6.3 juta daripada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diberikan kepada 55 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Sarawak. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusof berkata, sebanyak 2,205 pelatih akan menerima manfaat daripada peruntukan tersebut.

Menurutnya, peruntukan itu juga akan menggalakkan lebih banyak kerjasama antara komuniti dengan JKM bagi pembangunan OKU.

“Saya menggalakkan pemimpin masyarakat, ketua masyarakat dan ketua kaum agar memainkan peranan dalam mengenal pasti isu dan keperluan OKU setempat. “Ini kerana isu OKU dalam kawasan setempat boleh disampaikan kepada pemimpin masyarakat dan diketengahkan untuk perhatian kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Program Turun Padang KPWKM Edisi Sarawak di PDK Sentuhan Kasih Kuching, semalam.

Siti Zailah menjelaskan, sokongan kerajaan kepada OKU dapat dilihat menerusi bantuan khas RM300 yang memanfaatkan 190,000 OKU. Manakala jumlah OKU berdaftar dengan JKM sehingga Julai 2020 jelasnya, sebanyak 567,435 orang di seluruh negara dan 37,673 orang di Sarawak.

“Kita memahami bantuan RM300 tersebut tidak memadai dan hanya meringankan beban yang ditanggung ahli keluarga.

“Kerajaan mewujudkan Insentif Penjana Kerjaya iaitu pengambilan pekerja dalam kalangan golongan mudah terjejas termasuk OKU dan peserta Program Kembali Bekerja Perkeso,” katanya lagi.

Menurutnya, bayaran RM1,000 turut diberikan oleh kerajaan kepada majikan sekiranya mereka mengambil OKU bekerja dan menepati syarat permohonan yang ditetapkan. PDK memainkan peranan penting dalam menyediakan pelatih untuk membangun dan boleh berdikari sebelum menyertai alam pendidikan dan pekerjaan.

Turut hadir Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah; Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Zulkifli Ismail dan Ketua Pengarah Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Abdul Shukur Abdullah.