KUCHING: Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang menzahirkan penghargaan ke atas pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana Petronas dan anak syarikatnya berjaya menyelesaikan pembayaran Cukai Jualan Negeri (SST) untuk produk petroleum tahun lalu kepada Sarawak.

Khere Chiang berkongsi perasaan gembiranya kerana Sarawak mendapat kembali hak yang selama ini terhakis.

“Setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah kepada Ketua Menteri atas pembayaran RM2.9 bilion daripada Petronas kepada Sarawak.

“Rakyat pun faham, kini banyak projek dan perancangan sedang dibuat kerajaan melibatkan pelbagai rancangan seluruh Sarawak,” ujarnya.

Cukai bernilai RM2.9 bilion berkenaan diserahkan kepada Kerajaan Sarawak pada Khamis.

Terdahulu Ketua Menteri berkata, pembayaran cukai oleh Petronas dan anak syarikatnya itu hasil penyelesaian yang dicapai antara syarikat terbabit, Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak.

“Jumlah SST yang dibayar Petronas dan anak syarikatnya sebanyak RM2,956,671,407.36.

“Cukai untuk tahun ini pula akan dibayar apabila penilaian dibuat berdasarkan jumlah produk petroleum yang dijual dan nilai penjualan produk itu,” ujarnya lagi.