KUCHING: Sebuah bilik kediaman diduduki 13 individu di Kampung Rampangi nyaris terbakar keseluruhan akibat kejadian kebakaran, hari ini.

Insiden yang berlaku sekitar jam 2.50 itu disedari oleh orang awam di tempat kejadian sebelum bertindak membuat laporan kecemasan kepada jabatan bomba dan membantu memadamkan api menggunakan air di lokasi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, seramai 11 anggota dari Balai Bomba Dan Penyelamat(BBP) Petra Jaya telah dikerahkan ke lokasi sejurus menerima laporan berkaitan kejadian.

Menurutnya, laporan awal daripada komander operasi mengesahkan kebakaran berjaya dicegah awal oleh orang awam yang berada di kawasan insiden berlaku.

“Hasil pemeriksaan mendapati kebakaran membabitkan sebuah bilik berkeluasan 10×10 kaki persegi telah terbakar sekitar 10 peratus.

1. RENTUNG… kelihatan kipas dan barangan di bilik kediaman itu sudah hancur dijilat api

“Tindakan pemantauan telah dilakukan oleh petugas-petugas operasi bagi memastikan api telah dipadam sepenuhnya,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kesemua penghuni terdiri daripada lapan individu dewasa dan lima kanak-kanak disahkan selamat dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Dedahnya, punca kejadian bagaimanapun masih dalam siasatan lanjut.

Ujarnya, tindakan pemadaman seterusnya ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.11 petang.