MIRI: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg secara rasmi mengundurkan diri sebagai Presiden Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) bagi memberi laluan kepada generasi seterusnya.

Menurutnya, beliau percaya golongan belia dalam Saberkas akan terus maju seiring dengan perubahan zaman menuju ke arah perkembangan dunia digital.

“Sekarang kita menuju ke era baharu di mana semua perkara megalami perubahaan disebabkan teknologi, yang berlaku begitu pantas.

“Jadi, Saberkas, seperti yang sebelum ini, mesti menyediakan inisiatif, dorongan dan sokongan kepada golongan belia di Sarawak supaya mereka dapat bersedia menghadapi era baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tritahunan Saberkas Negeri Sarawak ke-16 di sebuah hotel ternama di sini hari ini.

Kira-kira 177 perwakilan daripada 59 buah cawangan Saberkas seluruh negeri menghadiri majlis perhimpunan tersebut yang diadakan tiga tahun sekali.