MIRI: Lebih RM41 juta diserahkan kepada para penerima Bantuan Skim Mikro Kredit dan Tabung Industri Kreatif Belia Sarawak.

Acara penyampaian disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang merupakan mantan Presiden Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) pada Majlis Makan Malam Bersama Presiden Saberkas di sebuah hotel ternama di sini, hari ini.

Ketika berucap, Abang Johari menjelaskan dana peruntukan sebanyak RM5 juta yang disalurkan oleh Kerajaan Sarawak untuk seni persembahan pada setiap tahun.

Katanya, dana tersebut adalah inisiatif kerajaan untuk mencungkil bakat anak-anak muda yang berbakat dalam bidang kesenian dan kebudayaan.

“Jika melihat bakat-bakat yang ada, Sarawak banyak melahirkan penggiat seni yang hebat hingga bertaraf antarabangsa.

“Misalnya, penyanyi terkenal seperti Hafiz, Bob, dan Dayang Nurfaizah atau pelakon yang kini berada di Hollywood iaitu Henry Golding yang berasal dari Sarawak juga,” ujar beliau.

Bukan itu sahaja, tambahnya, malah Sarawak turut melahirkan ahli sukan yang dikenali seperti penerjun negara Pandelela Rinong.

Dalam pada itu, Abang Johari juga menyuarakan keyakinannya terhadap masa depan Saberkas yang kini di bawah pucuk pimpinan baharu.

Beliau percaya, Saberkas yang baharu akan terus membawa pembangunan kepada golongan belia, seiring dengan peredaran masa dan perubahan zaman disebabkan teknologi.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dipilih sebagai Presiden Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) yang baharu bagi sesi tahun 2020-2023.