KUCHING: Peruntukan sebanyak RM460,000 daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk membina trek berbasikal dan pejalan kaki sepanjang 1.2 kilometer di sepanjang Jalan Stutong sehingga simpang Lorong 3C mula dijalankan sejak semalam.

Menurut Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng, projek yang bermula 17 September itu akan siap dalam tempoh tiga bulan iaitu siap pada 16 Disember 2020.

“Ini projek kedua pembinaan trek berkenaan selain trek pertama iaitu di Jalan Keranji 4 menuju ke Jalan Keranji dan melimpasi Pasar Komuniti Stutong, Tabuan Jaya.

“Sebagai sebuah bandar yang sihat, tujuan pembinaan trek itu supaya semua masyarakat di sekitar kawasan berkenaan dapat melakukan aktiviti sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita semasa melawat laluan berbasikal dan pejalan kaki di sepanjang Jalan Stutong Lorong 3C, semalam.

Tambahnya, penduduk di kawasan perumahan moden mungkin tidak mempunyai masa pergi ke tempat lain untuk membuat aktiviti senaman seperti berjoging dan berbasikal.

“Dengan kemudahan itu, penduduk setempat dapat melakukan aktiviti sihat,” tambahnya.

Jelasnya, projek itu juga selaras dengan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) di bawah objektif Pembangunan Berterusan 11 iaitu menuju sebuah bandar dan komuniti yang lestari.

“Projek itu sebahagian daripada usaha MBKS untuk merealisasikan visi bandar yang bersih, hijau dan indah serta dapat didiami.

“Oleh itu, kita menggalakkan pengayuh basikal menggunakan trek pendek tersebut menuju ke kawasan kejiranan atau kawasan rekreasi mereka,” jelasnya.

Hong Seng turut menjelaskan bahawa akan melaksanakan projek tersebut di kawasan perumahan yang padat serta memenuhi keperluan orang kelainan upaya (OKU) dengan ciri bandar yang selamat untuk pengguna lain.

Ujarnya, beliau membuat beberapa lawatan di beberapa daerah lain minggu lepas mendapati orang ramai bersenam di atas jalan raya dan bukannya menggunakan tepi jalan untuk aktiviti tersebut.

Oleh sebab itu, beliau komited berusaha untuk membina lebih banyak trek pejalan kaki dan berbasikal bagi kemudahan orang awam.