KUCHING: Beri peluang kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk terus memimpin Sarawak, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Naib Presiden Kanan Parti PBB menambah, buku rekod membuktikan Abang Johari mampu memimpin Sarawak selepas mengambil alih daripada Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem pada 2017.

“Paling nyata apabila dunia dilanda pandemik Covid-19 yang menjejaskan dunia termasuk pelbagai peringkat usia di Sarawak.

“Meskipun Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional (PN) menyalurkan banyak bantuan, Kerajaan Sarawak pula tidak gagal berbuat demikian melalui Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual khas oleh Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune di sini semalam.

Tempoh Dun Sarawak dijadual berakhir pada Jun 2021, sekali gus memberi laluan kepada PRN-12.

PRN-12 menyaksikan perjuangan GPS yang dikemudi oleh Abang Johari selepas mengambil keputusan sebagai entiti politik sendiri apabila keluar BN susulan kekalahan parti berkenaan pada PRU 2018.

Fadillah yang juga Ketua Whip GPS di peringkat Persekutuan menambah, fokus BKSS bukan hanya tertumpu kepada B40 malah turut menyasarkan belia, peniaga dan pihak terjejas akibat Covid-19.

“Di bawah kepemimpinan Abang Johari, perjuangan untuk mendapatkan semula hak-hak Sarawak yang terhakis di peringkat Persekutuan tidak pernah diketepikan.

“Ironinya semalam (Khamis) terlakarnya detik bersejarah apabila Petronas, syarikat gergasi minyak dan gas nasional membayar SST 2019 berjumlah RM2.9 bilion kepada Kerajaan Sarawak,” jelasnya. Beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menegaskan, dengan kutipan SST berkenaan, Kerajaan Sarawak akan berusaha merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan pedalaman.

“Sebab itu, Ketua Menteri tidak teragak-agak mengeluarkan dana yang besar untuk membina jambatan, jalan raya, jalan raya pesisir, bekalan air serta elektrik bagi tujuan terbabit.

“Ini menunjukkan beliau seorang yang mempunyai visi dan perancangan teliti dalam membangunkan Sarawak untuk diangkat sebagai negeri termaju dalam Malaysia menjelang tahun 2030,” ujarnya.

Fadillah yang juga Menteri Kanan Infrastruktur memberitahu, dengan dasar ekonomi digital dipelopori oleh Abang Johari menjadikan Sarawak maju ke depan ketika Covid-19 melanda.

“Ramai rakyat Sarawak menggunakan perniagaan dan pembelian dalam talian apabila mereka tidak kekok untuk berbuat demikian sama ada di bandar ataupun di luar bandar.

“Justeru, harapan saya agar rakyat Sarawak memberi mandat kepada Ketua Menteri pada PRN-12 kelak,” katanya.