KUCHING: Pusat Khidmat N8 Satok menerima kunjungan daripada peserta Program Jelajah Belia Parlimen Igan sempena Hari Malaysia 2020, semalam.

Timbalan Ketua Cawangan Parti PBB Satok Datuk Ibrahim Baki berkata, ia merupakan kali pertama PBB Satok menerima kunjungan belia dari kawasan lain.

“Kedatangan itu semestinya dengan niat untuk bertukar pandangan dan mempelajari apa-apa yang dilaksanakan belia di kawasan lain seperti Satok.

“Selepas mesyuarat hari ini juga, kita perlu mengekalkan hubungan, saling bertukar pandangan supaya dapat membantu pemimpin untuk menguatkan parti bagi Sarawak yang kita cintai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan daripada rombongan Program Jelajah Belia Parlimen P207 Igan sempena Hari Malaysia 2020 di Pusat Khidmat N8 Satok, di sini semalam.

Tambahnya, dengan adanya kemudahan jalan raya yang baik kini dan setelah Lebuh Raya Pan Borneo siap kelak, sudah pasti belia dari kawasan lain mudah mengatur perjalanan ke Kuching.

“Kita mengalu-alukan kehadiran anda semua dan terus berinteraksi mengenai apa-apa yang boleh dilakukan bersama-sama serta apa-apa yang boleh kami bantu,” ujarnya.

Sementara itu Ketua Rombongan Jelajah Belia Igan Wan Viyarahman Wan Zullkiplee mendedahkan, kawasan Igan merupakan salah satu daripada kubu kuat GPS sejak dahulu lagi.

“Kami mewakili belia Igan akan cuba sedaya upaya kami untuk mempertahankan kubu kami daripada diceroboh.

“Untuk mempersiapkan mental dan fizikal kami, maka tercetusnya idea Program Jelajah Belia Parlimen P207 Igan Sempena Hari Malaysia 2020 yang bertujuan melatih mental kita bagi menempuh apa sahaja situasi yang akan kami lalui kelak,” jelasnya.

Menurut Wan Viyarahman, perjalanan itu merupakan satu peristiwa yang bermakna kerana melalui program ini, beramah mesra dan bertukar-tukar pandangan dengan Pemuda N8 Satok serta menjalinkan hubungan persahabatan.

“Kami berharap perjumpaan ini memberikan makna yang mendalam dan ia tidak akan terhenti di sini,” katanya lagi.

Untuk rekod, seramai 25 belia menyertai program tersebut dan memulakan perjalanan dari Kampung Sekaan Besar, Matu dan dilepaskan oleh Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi pada 16 September di Sibu.

Perjalanan mereka akan diteruskan sehingga ke Teluk Melano hari ini (19 September) dan program tersebut akan berakhir pada 20 September ini.