LIMBANG: Banyak pembangunan sudah dilaksanakan di Limbang sejak kemerdekaan mula dikecapi, kata Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah.

Timbalan Menteri Pengangkutan itu berkata, perubahan dari segi infrastruktur, kemudahan asas dan lain-lain lagi juga dapat dilihat di Limbang.

“Saya sendiri yang dilahirkan pada tahun 1963 dapat menyaksikan perubahan pembangunan setempat dari sebelum merdeka sehinggalah sesudah merdeka.

“Mungkin ketika itu saya masih kecil, namun saya sempat melihat dan ingat bagaimana keadaan Limbang pada masa itu yang serba kekurangan.

“Berbeza dengan generasi pada masa ini, hampir semua kemudahan sudah ada,” katanya pada Majlis Makan Tengah Hari Sempena Sambutan Hari Malaysia 2020 anjuran Saberkas Cawangan Batu Danau di sebuah hotel terkemuka di sini.

Hasbi berkata, rakyat harus sentiasa mempertahan keamanan serta keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum.

Untuk itu, beliau menasihati rakyat agar tidak berpecah belah disebabkan hasutan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Saya lihat banyak isu perkauman dan agama dibangkitkan oleh individu yang cuba memecahbelahkan rakyat Sarawak.

“Jangan mudah terpedaya kerana kita dikurniakan akal dan fikiran untuk berfikir sama ada perkara yang disebarkan (tular) itu benar ataupun sebaliknya,” tegasnya.

Adun Batu Danau Paulus Palu Gumbang; Residen Bahagian Limbang Ir. Ahmad Denney Ahmad Fauzi; Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said; Walikota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat dan Pemanca Jun Sila antara yang turut hadir.