SEHARI selepas sambutan Hari Malaysia, Kerajaan Sarawak menerima bayaran SST minyak dan gas sebanyak RM2.9 bilion daripada Petronas.

Inilah hadiah Hari Malaysia untuk rakyat Sarawak!

Kemelut ini tidak selesai dalam tempoh beberapa bulan tetapi memakan masa bertahun-tahun yang membawa kedua-dua pihak jalan penyelesaian di dalam mahkamah.

Persefahaman antara Sarawak dengan Petronas tercapai apabila syarikat minyak gergasi itu setuju bayar jumlah cukai jualan pada 2019.

Banyak kali penyelesaian komersial ini diperkatakan sebelum ini malah sejak usaha menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 bermula secara rasminya pada Disember 2018, Kerajaan Sarawak dan Petronas sentiasa mengadakan rundingan mengenai urusan minyak dan gas serta cukai jualan ke atas produk petroleum.

Kata Perdana Menteri Tan Sri Muhiyiddin Yassin, rundingan itu selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama yang bermatlamat untuk berkongsi kemakmuran negara merentas kumpulan pendapatan, etnik dan wilayah di negara ini.

Ini juga menjadi pendekatan mampan dari segi ekonomi, kewangan dan sosial negara dalam jangka panjang.

Isu ini juga menjadikan hubungan lebih rapat antara Sarawak dengan Putrajaya termasuk memupuk kemakmuran rakyatnya.

Sebagai rakyat Malaysia, tidak kira apa bangsa pun, harus bahkan sewajibnya sentiasa beringat-ingat bukan sahaja rundingan seperti itu perlu diteruskan bahkan keharmonian perkara wajib dikekalkan.

Rakyat perlu bersungguh-sungguh mempertahankan hubungan baik ini.

Yang paling mustahak, bagaimanakah sebagai rakyat Malaysia, tidak kira apa warna kulit, bangsa, keturunan, mahupun agama, dapat menzahir dan membuktikan betapa hubungan baik Putrajaya dan Petra Jaya ini telah menghasilkan kesejahteraaan rakyat.

Justeru, penting bagi kita memupuk rasa penyatuan sebagai rakyat Malaysia, bukan bergantung kepada bahasa apa kita tutur, baju apa kita pakai dan bendera apa kita kibarkan.

Penyatuan ini di dalam hati. Rasa kesejahteraan ini di dalam diri.

Bukan sekadar menggantungkan Jalur Gemilang atau duduk semeja Cina, Melayu, Melanau dan Dayak – ia tidak cukup membuktikan kita sudah harmoni atau kekal sejahtera.

Kita tidak mungkin sesekali biarkan tanah air ini cuba ditebuk, dirobek dan dibocorkan oleh mana-mana pihak yang durjana.

Dan, dalam mengejar kemajuan, pembangunan luar bandar akan terus menjadi agenda utama kerajaan dan diberikan perhatian serius.

Kita perlu berbangga pembangunan Malaysia sebagai sebuah negara maju, yang dulu bermula hanya daripada kampung kecil, pedalaman dan desa, sekarang mampu berdiri sama tinggi dalam kalangan negara yang pesat membangun di dunia.

Hakikatnya, berjaya dan majunya kita sekarang, adalah hasil usaha gigih pentadbiran cekap dan kerajaan hebat seperti Kerajaan Sarawak.

Kerajaan ini yang mentadbir sejak sekian lama, mampu mempertahankan pencapaian dan rekod cemerlang – contoh mudah kejayaan memproleh tuntutan ke atas Petronas – serta terus meletakkan Sarawak di atas landasan kemakmuran.

Ini semua bukan sekadar omong kosong, akan tetapi fakta dan angka pencapaian yang diabsahkan serta dipersahihkan – seperti yang kita lihat pada 17 September 2020.