SIBU: Lebih banyak cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan dipertimbangkan oleh Kementerian Pengangkutan untuk dibuka di negeri ini.

\Menterinya Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, beliau mengambil maklum tentang penambahan cawangan JPJ di negeri ini sekiranya diperlukan.

“Saya mengambil maklum bahawa penambahan cawangan JPJ amat diperlukan terutamanya pembinaan cawangan JPJ Sarikei yang telah diluluskan peruntukan sebanyak RM22 juta. Ia harus dipercepatkan bagi memudahkan rakyat Sarawak semasa membuat urusan berkaitan JPJ.

“Ini kerana negeri Sarawak mempunyai keluasan tanah yang besar dan terdapatnya kekangan perkhidmatan Internet di luar bandar yang menghadkan penggunaan urusan JPJ dalam talian,” katanya ditemui media selepas mengadakan lawatan ke JPJ Cawangan Sibu di sini, pada Rabu.

Hadir sama Adun Repok Datuk Seri Huang Tiong Sii, Pengarah JPJ Sarawak Mohd Syafiq Anas Abdullah; Ketua Pejabat JPJ Cawangan Sibu Mohd Faizal David Jemat serta yang lain.

Pada lawatan itu, Wee telah diberi taklimat oleh Shafiq mengenai beberapa cadangan pembangunan dan isu yang sedang dihadapi oleh JPJ Negeri Sarawak seperti kutipan hasil, penambahan cawangan dan perjawatan baharu, perkhidmatan kaunter dan unit bergerak serta kebajikan pegawai.

Beliau mengambil contoh bahawa Cawangan JPJ amat diperlukan seperti perkhidmatan JPJ di Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang telah meraih kutipan hasil tinggi kerana ia membawa kemudahan yang efektif kepada penduduk setempat di Sarawak.

Pada masa yang sama, Wee menyeru rakyat Malaysia agar dapat membuat bayaran saman dengan kadar segera untuk menikmati kadar potongan sehingga 70 peratus bagi pembayaran saman dan kompaun JPJ dan SPAD yang akan tamat pada 30 September depan.

Sementara itu, beliau menegaskan bahawa kementeriannya akan terus mengekalkan kadar Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan di Sarawak seperti yang dinikmati oleh rakyat Sarawak pada masa ini.