KECERIAAN menyelubungi kem The City Boys untuk mengharungi perlawanan menentang Kelantan di Stadium Negeri, Petra Jaya Ahad ini (20 September).

Ia berikutan kehadiran semula Bryan Jones Anicezio dalam senarai utama selepas sekadar menjadi pemerhati pada beberapa perlawanan sebelum ini.

Penolong jurulatih Kuching FA, Shahrizan Sahari berkata, Bryan Jones Anicezio sudah pulih sepenuhnya dari kecederaan dan akan diturunkan untuk perlawanan menentang Kelantan.

Beliau berharap, kehadiran bintang import kelahiran Brazil itu akan menambah sengat di jentera serangan pada perlawanan tersebut.

“Saya yakin dengan kemampuan pemain dalam membentuk kombinasi lebih mantap sepanjang saingan sebenar. “Pada sesi latihan untuk tempoh seminggu ini, tampak jelas pemain berupaya menyesuaikan diri dengan strategi yang bakal diguna pakai,” katanya dalam kenyataan media.

Skuad Kuching FA kini berprestasi kemuncak selepas berjaya menundukkan Sarawak United FC (2-1) pada perlawanan hujung minggu lalu.

Lantaran bagi Shahrizan yang amat berharap detik cemerlang itu akan berulang kembali Ahad ini.