KUCHING: Lima individu lelaki didapati positif dadah syabu berjaya diberkas hasil Ops Bersepadu Cegah Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kuching, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa berkata, kesemua suspek ditangkap hasil pemeriksaan secara rondaan melibatkan 16 pegawai dan 34 anggota IPD Kuching di tiga lokasi berasingan sekitar jam 8 malam hingga 11 malam.

“Operasi berjaya menahan dua suspek lelaki di Jambatan Tun Salahudin, dua lelaki bersama dadah syabu seberat 0.35 gram di Taman Stampin Baru manakala seorang lagi suspek ditahan di Kampung Stampin.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek didapati positif Methamphetamine iaitu dadah jenis syabu,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

BESAR…Operasi Bersepadu Cegah Jenayah dan Pemantauan SOP Covid-19 dilakukan secara besar-besaran oleh pihak IPD Kuching di sekitar bandar raya Kuching dengan dibantu beberapa agensi lain.

Sementara itu katanya, operasi sama turut mengenakan tindakan kompaun RM1,000 kepada 25 lelaki dan 10 wanita kerana didapati gagal mematuhi prosuder operasi standard(SOP) di bawah Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.8)2020.

Dedahnya, kesemua individu terbabit ditahan hasil pemeriksaan pasukan di premis hiburan yang terletak di 101 dan pusat komersil Gala City, dan dua kedai makan termasuk di Tebingan Kuching dan Metro City Gita.

Untuk itu katanya, sebanyak 32 premis dan 218 individu telah diperiksa sepanjang operasi dijalankan.

Beliau turut mendedahkan operasi tersebut dijalankan bagi menunjukkan kehadiran polis dalam menjalankan tugas secara rondaan cegah jenayah di samping melakukan pemantauan pematuhan SOP Covid-19 di kawasan tumpuan ramai.

Tegasnya, operasi seperti itu akan sentiasa diteruskan dari semasa ke semasa dalam memastikan orang ramai sentiasa mematuhi SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dilaksanakan khususnya di sekitar bandar raya Kuching.

Ujarnya, operasi turut dibantu dengan kekuatan seramai 15 anggota Angkatan Tentera Malaysia(ATM),tiga RELA dan tiga Angkatan Pertahanan Malaysia.

PANTAU… premis pusat hiburan antara kawasan utama pemantauan berikutan ia menjadi tumpuan orang ramai untuk berkumpul