SIBU: Kawasan Dun Dudong memerlukan wakil rakyat GPS untuk terus melaksanakan pembangunannya.

Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, ini kerana kawasan Dun Dudong dilihat agak lambat berkembang dari segi pembangunannya.

“Kita sedia maklum bahawa kawasan Dun Dudong ini diwakili oleh pembangkang sejak 2011 setelah bekas Adunnya Datuk Dr Soon Choon Teck bersara pada tahun tersebut.

“Lebih menyulitkan lagi keadaan, Parlimen Lanang turut diwakili pembangkang,” katanya berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Philip Kayak Berandah di Sungai Durin dekat sini.

Setiausaha Agung SUPP Datuk Sebastian Ting Chai Yew; Pengerusi SUPP Cawangan Dudong Kaunselor Wong Ching Yong antara yang turut hadir.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan mahu rakyat di kawasan Dun Dudong untuk terus memberi sokongan kepada GPS pada PRN akan datang.

Jelasnya lagi, jika Dudong diwakili oleh wakil rakyat daripada blok kerajaan, setiap Adun GPS akan mendapat dana kerajaan sebanyak RM7 juta setahun daripada Kerajaan GPS.

“Lihat manfaatnya. Satu tahun ada RM7 juta. Maksudnya untuk sepenggal ada lima tahun, bermakna rakyat Dudong akan mempunyai peruntukan sebanyak RM35 juta.

“Peruntukan ini sangat besar dan saya rasa ia boleh digunakan untuk pelbagai lagi pembangunan di kawasan ini,” ujarnya lagi.

Dr Sim juga mendapati rumah panjang di kawasan tersebut masih daif misalnya tiada elektrik, air, jalan rosak, keadaan rumah panjang yang daif dan sebagainya.

Justeru beliau berkata, Kerajaan GPS telah menyediakan pinjaman perumahan bagi membantu menaik taraf rumah panjang.

Katanya, pinjaman itu disediakan oleh Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak.

“Setiap pintu akan mendapat maksimum RM30,000.

Pinjaman ini tidak dikenakan sebarang faedah dan tempoh pembayaran adalah 300 bulan.

“Pinjaman ini disediakan oleh Kerajaan Sarawak atau Kerajaan GPS di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” ujar beliau.

Beliau menggesa rumah panjang yang berminat mendapatkan pinjaman itu di Pejabat SUPP Cawangan Dudong bagi membantu menguruskan permohonan.