TEBING BARAT: Pembantu Senior Presiden Palestin Nabeel Shaath mengingatkan UEA bahawa ia tiada hak campur tangan dalam urusan Masjid alAqsa.

Kenyataan itu dikeluarkan setelah tersebar berita mengatakan UEA memberi kebenaran penganut Yahudi melakukan ritual serta mengizinkan mereka berkongsi ruang di dalam Masjid alAqsa.

Nabeel dalam wawancara dengan Arabi21 seperti disiarkan Middle East Monitor berkata, “bukan hak UEA berbincang perihal urusan Masjid alAqsa yang diberkati.”

Shaath menegaskan UEA tidak berhak mentafsir undang-undang antarabangsa menurut kehendaknya atau “mendekati hak rakyat Palestin”.

Sebelum itu, tentera Israel memasang pembesar suara di Masjid al-Aqsa mencabar kesabaran Palestin kerana dikatakan sengaja mengganggu ibadah Muslim.

Pada Selasa lepas, UEA dan Bahrain menandatangani kesepakatan damai dengan Israel di Rumah Putih di AS.