KUCHING: Penduduk di kawasan Sungai Maong dan Segedup bakal menikmati kemudahan kelas pertama apabila skim perumahan mampu milik siap dibina kelak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sebanyak 297 lot rumah akan dibangunkan melalui projek perumahan tersebut.

“Pembinaan rumah tersebut melibatkan kos lebih RM80 juta, dengan RM35 juta dianggarkan untuk kerja menimbus tanah manakala lebih RM50 juta bagi pembinaan rumah.

“Kos menimbus tanah dianggarkan RM100,000 untuk satu lot serta pembinaan longkang konkrit dan jalan raya ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan GPS apabila penduduk hanya membeli rumah sahaja.

“Maka, kampung baharu bagi penduduk Sungai Maong dan Segedup merupakan satu-satunya yang mempunyai kemudahan kelas pertama selepas siap kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian cek pampasan projek skim pembesaran Kampung Segedup di Ranyai Ballroom, di Hotel Waterfront di sini semalam.

Tambahnya, rumah yang akan dibina kelak seperti rumah inti dengan tiang dibina terlebih dahulu dan sekiranya pemilik mempunyai kemampuan, mereka boleh menambah bahagian bawah. “Ia juga dilengkapi dengan tiga bilik tidur, ruang makan dan ruang lain-lain.

“Konsep ini bukan sahaja dilaksanakan di Sungai Maong tetapi juga di Sibu dan insya-Allah akan dibina di Kampung Tambirat dan kawasan lain yang dibangunkan perumahan tersebut jika ada rezeki.

Justeru, yakinlah GPS sentiasa memerintah Sarawak,” ujarnya. Dalam hal berkaitan Abang Johari mendedahkan, dengan pembinaan kawasan perumahan itu nanti, penduduk di kawasan Sungai Maong dan Segedup bakal memiliki perumahan yang lebih tersusun dengan kemudahan yang disediakan.

“Kita memberikan keutamaan kepada mereka yang tinggal di Segedup dan Sungai Maong untuk skim perumahan mampu milik ini,” katanya lagi. Pada masa yang sama, beliau juga bersyukur kerana Sarawak mempunyai kerajaan yang stabil dan dapat menjalankan urus tadbir negeri dengan baik.

“Alhamdulillah selagi kami ada… kami akan mencari jalan untuk membangunkan negeri ini supaya kekal dalam keadaan terbaik dan maju menjelang tahun 2030,” tegasnya.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Timbalan Ketua Parti PBB Cawangan Satok Datuk Ibrahim Baki.