KUCHING: Cecair gas asli yang ditemui di Bukit Kanada, Miri yang tular baru-baru ini merupakan gas asli yang bocor mungkin berpunca daripada aktiviti perlombongan minyak mentah yang telah lama ditinggalkan oleh syarikat petroleum.

Timbalan Presiden Persatuan Kontraktor Petroleum Sarawak (Speca) Ir Jamel Ibrahim berkata, gas bocor di kawasan tersebut berpunca daripada kerja perlombongan yang dilakukan oleh syarikat perlombongan minyak mentah Shell sekitar 1910 hingga 1962.

Menurutnya, 624 telaga minyak mentah ditemui di kawasan berkenaan perlu ditutup dan harus disedari oleh masyarakat sekitar Bukit Kanada.

“Telaga itu dahulu mungkin telah ditutup dengan sempurna, namun dalam tempoh yang terlalu lama tiada pemeriksaan dan baik pulih telaga dilakukan sehingga terjadinya kebocoran gas.

“Oleh sebab itu, kebocoran cecair gas ini amat bahaya kepada kesihatan dan keselamatan penduduk yang berada di sekitar Bukit Kanada,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media Speca di Hotel Samudra semalam.

Tambah beliau, telaga minyak tersebut harus ditutup dengan sempurna dan kerja-kerja baik pulih harus dilakukan.

Jelasnya, setakat ini kawasan tersebut masih tidak boleh dikomersial sebagai tempat perlombongan minyak mentah kerana bimbang akan mengganggu keselamatan masyarakat di Miri.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Speca Datuk Rahman Lariwoo berkata, pihaknya akan menghantar kertas kerja kepada Kerajaan Sarawak dan syarikat petroleum seperti Shell untuk kerja penutupan dan baik pulih kawasan berkenaan.

“Kita mempunyai ramai pakar tempatan yang boleh diketengahkan untuk kerja-kerja penutupan dan baik pulih telaga minyak yang telah lama ditinggalkan.

“Kita juga bersedia untuk mengemukakan kertas kerja kepada Kerajaan Sarawak ataupun Shell.

Ini kerana, kita tidak tahu siapa yang bertanggungjawab ke atas kawasan yang pernah diterokai Shell,” ujarnya.

Menurutnya, kos-kos baik pulih dan menutup telaga minyak tersebut mungkin agak tinggi, namun jika dibandingkan kos penutupan telaga minyak di dasar laut, ia lebih tinggi.

“Kos baik pulih dan penutupan telaga di atas darat ini mungkin 50 peratus lebih rendah daripada kos penutupan telaga minyak di dasar laut,” katanya lagi.

Beliau turut menyarankan penduduk di Miri agar berhati-hati semasa berada di sekitar kawasan berkenaan.

Turut hadir Presiden Speca Datuk Rahman Lariwoo, Setiausaha Speca Ahmad Sazali Annuar dan Pengurus Besar Permodalan Satok Berhas Hafisz Rachman Drahman.