KUCHING: Mendiang Datuk Awang Raweng yang meninggal dunia semalam adalah seorang pejuang hebat dan akan sentiasa dikenang sebagai seorang legenda dalam sejarah moden Sarawak, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Dalam satu kenyataan di sini beliau berkata mendiang adalah satu lambang dedikasi penuh terhadap tugas serta tanggungjawab, di samping memiliki keberanian yang luar biasa, dan kehilangannya pasti dirasakan oleh seluruh rakyat Sarawak.

Menurutnya mendiang adalah satu-satunya rakyat Malaysia yang dianugerahkan dengan George Cross Medal, anugerah sivil tertinggi Britain terhadap keberaniannya sebagaimana yang direkodkan dalam London Gazettee pada 20 November 1951, dan menjadi satu lagi inspirasi bagi rakyat Sarawak dalam mengharungi apa jua cabaran yang datang.

Uggah berkata memang amat sesuai majlis pengebumian negeri diberikan kepada mendiang, dan dikebumikan di sisi pahlawan gagah berani Sarawak di Makam Pahlawan Kuching di sini Isnin ini.

“Seluruh rakyat Sarawak turut bersedih bersama ahli keluarga mendiang dengan pemergian ini, dan bagi pihak semua, saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada mereka. Dedikasi dan keberanian mendiang telah membawa penghormatan besar kepada negeri dan negara,” katanya.– BERNAMA