LAWAS: Sekitar 10,000 orang dewasa di negeri ini tidak menguasai asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, mereka amat memerlukan Pendidikan Literasi Fungsian (PLF).

“Data tersebut diperoleh hasil kajian penilaian buta huruf pada 2018 yang dijalankan oleh Kemas dengan kerjasama universiti tempatan.

“Justeru pada tahun ini, Kemas menyasarkan 2,480 anggota masyarakat dapat dilatih dengan PLF di Sarawak yang direalisasikan melalui pelaksanaan 198 kelas yang diwujudkan untuk memberi peluang pembelajaran literasi tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Program Pengukuhan Kelas Literasi Kemas Sarawak 2020 di sini yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Datuk Henry Sum Agong.

Di Parlimen Lawas pihaknya telah melatih 424 peserta sejak 2012. Jelasnya, Kemas tidak pernah jemu membangunkan sumber manusia di kampung atau rumah panjang menerusi kelas pendidikan tidak formal bagi menangani isu buta huruf.

Sementara itu, Henry berharap Kemas dapat mempelbagaikan usaha menangani isu buta huruf di Sarawak supaya jumlah penduduk celik huruf meningkat terutamanya di Lawas.

“Saya juga ingin melihat Kemas melahirkan pemimpin tempatan yang berupaya merancang, melaksana dan mengurus program pembangunan di kampung yang akan membawa perubahan sikap dan kehidupan serta sosioekonomi masyakat luar bandar agar lebih baik.

“Bagaimanapun, saya yakin dengan komitmen yang tinggi, Kemas dapat memberikan tumpuan kepada usaha pembangunan sumber manusia yang lebih menyeluruh,” ujarnya.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kemas Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi; Pengarah Kemas Sarawak Khairuddin Mohd Nasir dan Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok antara yang turut hadir.