PERSATUAN Bola Sepak Sarawak (FAS) akan mencari tarikh baharu yang bersesuaian untuk menganjurkan Piala Sarawak 2021 di Limbang. Presiden FAS, Datuk Posa Majais memberitahu, pihaknya akan mengadakan pertemuan khas dengan barisan exco Persatuan Bola Sepak Bahagian Limbang (PBBL) untuk membincangkan perkara itu.

“Kita akan mengadakan pertemuan khas dengan PBBL untuk membincangkan lebih lanjut oerkara itu. “Ia sekali gus, diharap pertemuan itu kelak akan dapat memuktamadkan tarikh penting untuk penganjuran kejohanan berprestij itu,” katanya kepada Suara Sarawak.

Beliau berkata, penganjuran kejohanan dijangka berlangsung sebelum bermula temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Johor yang dijadual berlangsung awal bulan April 2021.

“Masa yang paling sesuai, dua bulan sebelum Sukma Johor ataupun sekitar dalam bulan Februari,” tegasnya. Mengikut jadual asal FAS, kejohanan Piala Sarawak sepatutnya berlangsung hujung tahun ini.

Bagaimanapun, disebabkan masalah penularan Covid-19 bermula Mac lalu maka ia terpaksa ditangguh.