KUCHING: Bangunan pasar raya D Valley Batu 7 nyaris musnah keseluruhan akibat kejadian kebakaran, semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, laporan kejadian diterima menerusi panggilan kecemasan sekitar jam 11.10 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Batu Lintang bersama BBP Tabuan Jaya digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, setibanya di lokasi tindakan memecah masuk pintu hadapan bangunan telah diambil bagi operasi pemadaman dapat segera dilakukan.

“Komander operasi melaporkan kebakaran membabitkan sebuah bangunan pasar raya berkeluasan 850 meter persegi berikutan asap tebal keluar dari arah bahagian bawah bangunan berkenaan.

“Pasukan pemadaman kebakaran telah mengambil masa selama empat minit bagi mengawal seterusnya berjaya memadam sepenuhnya kebakaran di tempat kejadian,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau dalam pada itu mendedahkan kebakaran memusnahkan 10 peratus dari keseluruhan bangunan iaitu dua buah kaunter dan barang-barang yang berhampiran kaunter terbabit.

Katanya, hasil pemeriksaan keseluruhan turut mengesahkan kebakaran tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Ujarnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.21 tengah malam.

TANGKAS… pasukan penyelamat bomba yang terdiri dari BBP Batu Lintang dan Tabuan Jaya mengambil masa empat minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke seluruh kawasan bangunan