KETIKA UEA, Bahrain dan Israel “berpelukan” di Rumah Putih AS pada Selasa, merealisasikan kesepakatan perjanjian damai – Arab Saudi masih menegaskan komitmennya menyokong rakyat Palestin.

Arab Saudi masih percaya Palestin merdeka harus ditegakkan berdasarkan sempadan 1967 dengan menjadikan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kota.

Sebelum ini semua negara Arab kecuali Mesir dan Jordan bergabung dalam Liga Arab menolak hubungan diplomatik dengan Israel demi membela Palestin.

Semenjak Inisiatif Damai Arab 2002 “tanah untuk perdamaian” negara Arab melaungkan slogan bahawa sebarang perjanjian diplomasi dengan Israel harus berdasarkan prinsip Palestin harus merdeka yang sudah ditolak mentah-mentah rejim Israel.

Kini, kesatuan itu sudah pecah di tangan penasihat yang juga menantu Presiden AS Donald Trump, yang berjaya menukar geopolitik Timur Tengah mengikut acuannya.

Sejauh mana pegangan Arab Saudi ini dapat dipercayai? Sebab sebelum ini Bahrain juga berpegang pada pegangan serupa, tetapi menukar pendirian mereka pada saat akhir.

Trump yakin Arab Saudi akhirnya bersetuju dengan rancangan Washington itu menormalisasikan hubungannya dengan Israel.

Sementara, ketika UEA dan Bahrain duduk di Rumah Putih pada Selasa lepas, di Gaza Hamas mengkiritik Israel mengeksploitasi kesepakatan Abraham Accords yang baharu ditandatangani sebagai hanyalah bertujuan meningkatkan dominasi terhadap Masjid al-Aqsa.

DARI kiri: Menteri Luar Bahrain Abdullatif al-Zayani, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, Presiden AS Donald Trump dan Menteri Luar
UAE Abdullah Zayed al-Nahyan menandatangani Perjanjian Abraham Accords di Washington. – AFP

Selain itu, Hamas percaya Israel akan menghancurkan lebih banyak rumah warga Palestin di Baitulmuqaddis selepas ini. Kenyatannya benar, sebaik sahaja perjanjian damai tiga negara ditandatangani, pihak berkuasa Israel menunjukkan belang di Baitulmuqaddis.

Pembantu Presiden Palestin Nabeel Shaath keras mengingatkan UEA bahawa ia tiada hak campur tangan dalam urusan Masjid al-Aqsa.

UEA dituduh memandai-mandai memberi lampu hijau kepada penganut Yahudi melakukan ritual serta mengizinkan mereka berkongsi ruang di dalam Masjid al-Aqsa.

Ya, sejak bila pula UEA menjadi wakil bersuara bagi pihak negara lain. Kelihatan di atas kertas UEA menjadikan pelan normalisasinya dengan menjadikan isu al-Aqsa dan Baitulmuqaddis sebagai “tiket” menghalalkan hubungan tersebut.

Sekiranya perhubungan tersebut mendatangkan manfaat tindakannya mungkin berbaloi. Namun, jika rejim Israel masih mengamuk selepas ini, UEA dan Bahrain pasti dikutuk.

Sebelum ini, Setiausaha Jenderal PBB Antonio Guterres berharap Israel dan Palestin dapat mengambil kesempatan membincangkan pelan damai menyusul momentum perjanjian diplomatik itu.

Menurut Guterres dengan penangguhan aneksasi, Palestin harus membuka kembali “dialog buka tutup” sesuai resolusi Dewan Keselamatan PBB sebelum ini. Ketika perjanjian damai ditandatangani, demonstrasi digerakkan di Tebing Barat; di Ramallah, Tulkarem, Nablus, Yerikho, Jenin, Bethlehem, Hebron serta di Genting Gaza seawal pagi Selasa.

Palestin menyebut tandatangan UEA dan Bahrain itu sebagai “senjata yang menikam belakang” rakyat Palestin. Ya, yang penting bertolak dari sini, AS sudah mencapai cita-citanya mengganyang Iran dengan UEA sudah pun menyediakan tapak serangan.

Tanpa segan, ketika dakwat perjanjian masih belum kering, Presiden AS Donald Trump mengaku sekali lagi mahu membunuh Presiden Syria Bashar alAssad yang dicanangkan sebagai musuh bersama termasuk musuh Arab Saudi dan negara Sunni lainnya.

Sebelum ini pada 2017, Trump mengaku mahu membunuh Assad ketika rejim Syiah itu dituduh melakukan serangan senjata kimia terhadap warga awam selain jenayah penyeksaan, pemerkosaan mengorbankan lebih 380,000 jiwa sejak 2011 itu dan menghantar ratusan ribu pelarian lain ke Eropah dan Barat.

AS sudah menyekat ekonomi Iran dan mencegah Tehran membeli kereta kebal serta sistem pertahanan udara Rusia. Menggunakan sentimen anti-Syiah Iran, AS “masuk daun” mempengaruhi negara Arab Sunni.

Namun agenda AS yang sangat jelas ialah menyelamatkan Israel daripada serangan Syiah Hizbullah yang pro-Iran di Lubnan, Syria dan Yaman.

Dan sekali lagi, wajar kita bertanya sejauh mana Arab Saudi sebagai pemimpin jazirah Arab kekal dengan pendiriannya sealiran Inisiatif Damai Arab 2002 “tanah untuk perdamaian”? Sejauh mana pula Israel mahu melepaskan cengkamannya ke atas Baitulmuqaddis Timur?

Apatah lagi membenarkan Palestin bernafas merdeka dan berdaulat? Kenapa payah sangat dunia yang besar memerdekakan sebuah Palestin yang kecil yang sebahagian tanahnya sudah dimiliki orang lain? Dan kenapalah hanya sebuah Israel yang kecil dapat menghambat kehendak dunia? Di atas kertas Arab tidaklah terlalu lokek.

Solusi dua negara seiringan PBB dan negara antarabangsa sebelum ini memberi nafas kepada Israel untuk bernegara dan hidup damai di samping saudara Arabnya.

Namun, Israel dan AS masih mengambil lebih setengah abad untuk menunaikan permintaan Palestin membenarkan mereka bernafas, dan memiliki negara merdeka bersebelahan dan berjiran dengan bekas “perampas” yang kini menjadi penjajah tanah air mereka.

Arab Saudi masih pertahankan pendirian “Palestin merdeka” ketika negara masih di bawah pemerintahan Raja Salman yang banyak berdepan dengan kerenah Yahudi.

Namun di tangan generasi baharu, Putera Mahkota Mohammad Salman selepas ini tiada jaminan tuntutan tersebut diperkuatkan.

Foto AFP

Abdulrahman al-Sudais imam Masjidil Haram di Makkah yang terkenal menangis ketika mendoakan Palestin bebas dalam khutbahnya sebelum ini, dalam khutbah terbaharunya meminta umat Islam menghindari “emosi membara” terhadap Yahudi dan memperlakukan mereka dengan baik.

Khutbah yang disebut sebagai “khutah normaliasi” itu menyampaikan pesan bahawa cara terbaik untuk memujuk orang Yahudi lembut hati adalah dengan “memperlakukan mereka dengan baik”.

Ajakan sebegini seumpama pujukan dan laluan sehingga akhirnya Arab mengikut jejak langkah UEA, Bahrain yang kemudiannya akan membuka ruang kepada Qatar dan negara lain menerima Israel.

Sekali lagi, diyakini perdamaian dan persabahatan dan memaafkan adalah sifat terpuji manusia. Seruan universal dunia ialah hiduplah manusia dalam aman damai, adil tanpa sengketa dan peperangan.

Namun dalam sanggup berkorban, perlu ada sifat waspada, jangan sampai yang dikejar tidak dapat, yang dikendong pula berciciran. Dan perlu diingat bahawa tipu muslihat, putar belit, dusta dan khianat pula adalah sifat terkeji!