SIBU: Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing menyifatkan perpaduan merupakan elemen penting dalam mengekalkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negara ini khasnya di Sarawak.

Tanpanya kata Tiong, kemerdekaan dan kedaulatan negara yang dipupuk sejak sekian lama boleh terjejas serta lenyap begitu sahaja.

“Perpaduan kukuh rakyat mampu menjana kejayaan dan kecemerlangan untuk kesejahteraan serta kemakmuran negara,” katanya ketika bersamasama Ketua Pemuda PDP Bawang Assan Kaunselor Joshua Ting Fu Ying melawat kawasan Dun Bawang Assan, pada Jumaat.

Beliau mengajak rakyat untuk merenung perjuangan nenek moyang yang bertungkus lumus mendapatkan keamanan dan kemerdekaan.

Pada masa yang sama, Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat China itu berkata, sambutan Hari Malaysia pada setiap 16 September begitu signifikan dengan seluruh rakyat untuk memperingati usaha dan kesepakatan pemimpin serta rakyat dalam membentuk Malaysia.

“Kesepakatan ini penting untuk menyuntik semangat bagi memastikan apa-apa jua yang dilaksanakan berlandaskan kepada Perlembagaan Malaysia untuk menghormati Perjanjian Malaysia (MA63),” ujar.

Justeru Ahli Parlimen Bintulu itu menggesa rakyat terutama di rumah panjang supaya bersatu padu dan bekerjasama memastikan keharmonian yang sedia terjalin dapat dipertahankan selain memastikan pembangunan terus dibawa ke kawasan mereka.

Dalam isu berasingan, Tiong menyeru rakyat di kawasan Dun Bawang Assan untuk memberi sokongan padu kepada manamana calon daripada GPS pada PRN akan datang.

Sementara itu, King Sing mengingatkan rakyat di kawasan berkenaan agar tidak menyentuh isu agama dan kaum yang dianggap sangat sensitif.

Jelasnya, ia merupakan prinsip yang perlu dipatuhi dan dihormati oleh semua pihak di negara ini.